Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, masih ramai pihak yang mahu beliau menerajui negara ini sekali lagi.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri dua kali berusia 97 tahun itu berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan tidak mendedahkan siapa pihak yang membuat permintaan tersebut.

“Saya tak bersedia tapi banyak orang suruh, jadi waktu ini saya tak buat keputusan apa-apa. Saya tak tolak saya tak terima,” katanya ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi Perdana Menteri kali ketiga.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia di Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Untuk rekod, Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dengan dua gabungan politik berbeza dan di dua kerusi Parlimen berlainan.

Kali pertama bersama Barisan Nasional (BN) semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu. Dr.Mahathir menjadi Perdana Menteri mulai 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003. Kali kedua pula dengan ‘musuh’ BN – Pakatan Harapan mulai 10 Mei 2018 hingga 1 Mac 2020 ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Langkawi.

Mengenai PRU-15, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, GTA akan bergerak berasingan.

Beliau berkata GTA juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang terlibat rasuah ataupun terlibat mendirikan kerajaan melalui pintu belakang.

BERITA BERKAITAN Saman fitnah: Tun Mahathir dakwa Zahid sengaja bangkitkan isu perkauman

“Kita berasingan. Kita telah ada satu gerakan dinamakan Gerakan Tanah Air yang mencantumi parti politik Melayu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan daripada ahli akademik dan profesional yang cinta kepada negara.

“…dan mereka ingin berjuang dalam politik untuk kembalikan negara kepada dahulunya yang dikenali sebagai Asian Tiger yang bersih, cekap dan amanah,” katanya.

Mengenai status pendaftaran GTA kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), beliau berkata perkara itu dijangka diketahui bulan hadapan.

“Kita menunggu bulan depan baru pihak RoS akan putuskan sama ada GTA akan didaftar. Jadi saya harap janganlah didaftarkan sehari sebelum bubar kerajaan supaya kita ada masa untuk menyiapkan GTA untuk PRU-15,” katanya.

GTA telah menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada RoS pada 6 September lepas dengan empat parti gabungan di bawahnya iaitu Pejuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Mengulas mengenai Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ia perlu diluluskan sebelum PRU-15 diadakan bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa hadapan kerana kebarangkalian berlaku perubahan dalam dasar belanjawan tersebut jika kerajaan kini tewas PRU-15.

“Kita berhadapan kemungkinan PRU-15 diadakan maka terpulang kepada pihak kerajaan putuskan sama ada mereka akan meluluskan bajet dahulu sebelum adakan PRU-15 atau adakan PRU15 sebelum (meluluskan) bajet. Kalau adakan PRU-15 sebelum bajet maka akan timbul banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram