PEMAIN tengah Selangor FC, Brendan Gan gembira menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan sekali lagi, dan sudah tidak sabar untuk membantu skuad Harimau Malaya dalam Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai yang akan bermula minggu depan.

Pemain berumur 34 tahun itu berkata ia merupakan satu penghormatan, untuk diberikan peluang menyarung jersi pasukan kebangsaan sekali lagi, selepas mengharungi pelbagai cabaran dan halangan sejak setahun lepas.

“Memang amat mengujakan bagi saya untuk kembali dan melakukan yang terbaik buat pasukan dan negara. Diharapkan kita dapat beraksi dengan baik dalam kejohanan nanti,” katanya ketika ditemui di hari pertama kem latihan berpusat skuad negara di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.

Brendan merupakan salah seorang daripada 25 pemain yang tersenarai dalam skuad pimpinan jurulatih Kim Pan Gon yang akan berlepas ke Thailand Isnin ini.

Kali terakhir Brendan menyertai pasukan kebangsaan ialah semasa pasukan negara mengalahkan Thailand 1-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Emiriah Arab Bersatu pada Jun 2021, sebelum sebelum beliau disahkan menghidap kanser.

Baca artikel berkaitan: Pan Gon kekalkan majoriti pemain untuk Piala Raja Thai, Brendan turut tersenarai

Selepas mula bermain secara kompetitif Jun lepas dalam Liga Super, bintang pasukan Selangor itu berkata beliau kini berada di tahap yang dimahukannya.

Merujuk kepada corak permainan terkini di bawah kendalian Pan Goh, Brendan mengakui beliau amat teruja dengan perubahan yang dibawa oleh jurulatih Korea Selatan itu selepas melihat beberapa perlawanan sebelum ini, termasuk dalam kempen pusingan kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur Jun lepas.

Dalam Kejohanan Piala Raja Thailand ini, Malaysia yang berada di ranking 148 dunia diundi untuk menentang Thailand (ranking 111) pada 22 Sept (Khamis), manakala Trinidad & Tobago (ranking 101) akan berhadapan dengan Tajikistan (ranking 109).

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu dalam peringkat final pada 25 Sept, manakala pasukan yang kalah akan berentap untuk merebut tempat ketiga.

Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram