Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENYERTAAN dalam tawaran ekuiti Digital Nasional Bhd (DNB) kini berada di peringkat akhir yang melibatkan empat syarikat pemberi perkhidmatan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Empat syarikat itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

“Perbincangan bersama keempat-empat syarikat telah berjalan dengan lancar dan diharapkan perjanjian akses akan dapat dimuktamad dan ditandatangani menjelang 30 Sept ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung perkembangan pelaksanaan 5G di Malaysia.

Ditubuhkan pada Mac 2021, DNB adalah syarikat kenderaan tujuan khas Malaysia yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan dikawal selia oleh MCMC, diwujudkan sebagai penyedia dan pemudah cara perkhidmatan 5G untuk negara.

Annuar berkata bagi memudahkan proses penyertaan ekuiti dalam DNB, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengemas kini beberapa syarat lesen ke atas DNB khususnya yang berkaitan dengan syarat pemilikan pegangan syarikat.

Ini memandangkan struktur syarikat bukan lagi 100 peratus milik kerajaan, sebaliknya saham majoriti bakal dimiliki oleh beberapa syarikat telekomunikasi yang bersetuju, katanya.

“Sebagai pemegang saham dan pelabur, sudah tentu mereka wajar dipertimbangkan terma-terma yang meyakinkan dan menjamin daya maju syarikat di masa akan datang,” katanya.

Annuar berkata hasrat kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan infrastuktur 5G telah menunjukkan hasil yang positif setelah hampir setahun pembangunan rangkaian borong tunggal (SWN) dijalankan oleh DNB.

Baca artikel berkaitan: 5G: TM, YTL sedia meterai perjanjian langgan saham DNB, MNO – Tengku Zafrul

Menurutnya lebih 2,100 tapak 5G telah beroperasi dan liputan 5G telah mencecah 33 peratus liputan di kawasan berpenduduk di lapan buah negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga penghujung Ogos 2022.

“Dijangkakan sasaran 36 peratus liputan pada penghujung 2022 akan dapat dicapai dan seterusnya memberi keyakinan bahawa sasaran 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung 2024 mampu direalisasikan,” katanya.

Annuar berkata kerajaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) memutuskan supaya pelaksanaan 5G dibuat menerusi SWN dan dibangunkan oleh DNB, dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyokong penuh dasar itu.

Beliau berkata MCMC telah memberi DNB lesen-lesen yang berkenaan untuk tempoh 10 tahun sehingga 2031 serta memperuntukkan spektrum khusus 5G yang telah dikenal pasti, dan hanya spektrum yang ditetapkan sahaja dibenarkan untuk perkhidmatan 5G komersial oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

Dalam menangani cabaran pelaksanaan 5G, beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui MCMC dan juga DNB telah secara aktif mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkuasa negeri, kerajaan tempatan dan pemegang taruh yang berkenaan.

“Menerusi sesi libat urus ini, isu-isu dasar telah dapat ditangani segera dan pelaksanaan rangkaian telah dapat dipermudahkan,” katanya.

Mengenai penawaran perkhidmatan runcit 5G oleh syarikat telekomunikasi, Annuar berkata setakat ini, YTL Communications dengan perkhidmatan YES telah mendahului syarikat lain dalam menawarkan perkhidmatan komersial kepada pengguna.

“Celcom pula melalui program Friendly User Trial sudah mula membuka akses 5G kepada pengguna mereka yang terpilih bagi menguji perkhidmatan 5G dan ini juga satu perkembangan yang positif.

“Diharapkan syarikat yang berhasrat menawarkan khidmat runcit 5G dapat menyegerakan tindakan masing-masing,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram