aishah

PENYANYI Datuk Aishah melahirkan perasaan syukur apabika kes tuntutan sebidang tanah lot banglo yang dimenangi ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017 akhirinya selesai.

Menurut Aishah, meskipun pada awalnya dia enggan membawa kes terbabit ke muka pengadilan namun atas nama keadilan, dia akur untuk mengheret isu tersebut ke mahkamah.

“Alhamdulillah, selepas lima tahun kes ini berlangsung baru temui penyelesaian. Saya buat semua ini supaya bakal-bakal penaja tunaikan apa dijanjikan.

“Ini bukan cerita mengenai tamak atau minta melebihi apa yang dihebahkan. Apa hadiah yang dikongsikan itu saja yang kami tuntut.

“Malangnya perkara ini perlu berjalan selama bertahun-tahun dan akhirnya baru selesai. Saya harap apa yang berlaku ini menjadi peringatan kepada semua pihak yang berkenaan,”katanya memetik Harian Metro.

Sebelum ini, Aishah ada memuat naik video mengenai kenyataan wakil peguam dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates yang menjelaskan pihak penaja bersetuju membuat bayaran kepada Aishah.

Peguam yang mewakili Aishah iaitu Mohammad Izwan Azmi menjelaskan, pihak penaja hadiah berkenaan tampil dengan satu dokumen tawaran penyelesaian dan dipersetujui oleh Aishah sendiri.

“Tahniah kepada Datuk Aishah kes ini selesai. Terdapat ‘proposal settlement’ daripada pihak penaja dan Aishah sendiri sudah bersetuju.

“Ada bayaran yang perlu dibuat dan beberapa tindakan perlu dilakukan oleh pihak penaja,” katanya.

Pada GV4, Aishah dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Liza Hanim dan Lan Solo.

Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Walau bagaimanapun isu mula timbul apabila penaja tidak memenuhi apa yang dijanjikan sebaliknya mahu memberi sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo itu.