Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti saksi ketiga dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Sequerah berkata Seksyen 155 Akta Keterangan 1950 membenarkan prosiding mencabar kredibiliti saksi itu dimulakan sebagaimana dipohon pendakwaan.

“Seksyen ini tidak menyentuh sama ada dokumen-dokumen (kenyataan yang dirakamkan SPRM) adalah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi atau sebaliknya. Jadi keputusan mahkamah ini ialah saya membenarkan prosiding ini untuk dimulakan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihaknya akan memulakan prosiding terhadap Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil, yang merupakan saksi ketiga pembelaan menurut Seksyen 155 Akta Keterangan 1950.

“Kebolehpercayaan saksi boleh dicabar dalam kaedah berikut oleh pihak yang terjejas atau dengan persetujuan mahkamah dengan bukti kenyataan sebelum ini tidak konsisten dengan mana-mana bahagian buktinya yang bercanggah dengan keterangan (saksi) yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Kes rasuah VLN: Ahmad Zahid bebas atau bela diri diketahui esok

Raja Rozela membuat permohonan itu semasa menyoal balas Jefri, apabila dia menyatakan telah memberikan kenyataan kepada SPRM pada 2018 tetapi tidak dapat mengingati kandungannya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memberitahu kenyataan Jefri diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac, 2021.

“Pihak pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding sehingga dokumen itu telah diubah statusnya. Kami telah memohon untuk mendapatkan dokumen itu tetapi ditolak mahkamah kerana ia diklasifikasikan di bawah OSA,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Prosiding diteruskan tengah hari ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram