Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGALAMAN Malaysia menangani pandemik COVID-19 perlu diinstitusikan bagi memastikan Kementerian Kesihatan (KKM) dan negara berada dalam keadaan bersedia sekiranya muncul pandemik baharu pada masa akan datang.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pengalaman-pengalaman dan tatacara pengendalian COVID-19 boleh dijadikan panduan berguna kepada pegawai-pegawai di KKM kelak.

“Pengalaman pandemik sangat berharga. Ia mesti diinstitusikan sebab pegawai yang berada di KKM sewaktu pandemik (COVID-19) suatu hari nanti akan bersara.

“Saya pun mungkin tidak lama lagi tidak akan berada di sini, yang penting pengalaman itu diinstitusikan supaya ketersediaan (bagi menangani) pandemik akan datang adalah sesuatu yang dapat kita turunkan kepada pegawai-pegawai akan datang,” katanya kepada pemberita semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan.

Khairy berkata, sekiranya berlaku pandemik kesihatan lagi di masa hadapan, negara akan lebih bersedia dari pelbagai aspek termasuk cara berkomunikasi yang betul untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Jangan pengalaman dan segala langkah-langkah yang telah pun diambil oleh KKM dan kerajaan kita lupakan. Jika berlaku pandemik akan datang kita sudah tahu tatacaranya, bagaimana hendak berkomunikasi dengan rakyat, apakah langkah-langkah yang perlu dibuat, apakah pengajaran yang kita telah belajar daripada pengalaman lepas.

Semua ini kita telah senaraikan dan kita akan minta supaya dicerakin kepada pegawai-pegawai yang akan datang supaya mereka dapat tahu apakah pengalaman kita dari tahun 2020 hingga 2022. Inilah amalan terbaik yang telah kita buat,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Sistem penilaian 360 darjah diperluas kepada pengarah hospital tahun ini – Khairy

Selain itu, Khairy berkata menyedari tempohnya sebagai menteri kesihatan “tidak lama”, beliau berusaha menyelesaikan beberapa tugasannya sebelum pembubaran Parlimen bagi memastikan segala dasar dan perancangan KKM berjalan dengan baik.

“Saya ambil kiraan biasa, ikut kiraan biasa Parlimen mesti dibubarkan pada pertengahan tahun hadapan… kita bakal memasuki suku keempat tahun ini.

“Saya terpaksa cakap begini sebab kita kena biasakan pegawai juga kerana dalam tempoh kita bubarkan Parlimen, dah tak ada menteri. Setiap kementerian akan meneruskan perkhidmatan secara juruterbang auto yang diketuai oleh ketua setiausaha kementerian dan sebagainya.

“Kalau saya berpura-pura bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak akan berlaku, maka pegawai tak reti, jadi kita kena buat segala persiapan mulai sekarang,” katanya.

Sementara itu, ditanya apakah yang ingin dilaksanakan lagi sekiranya mempunyai “masa tambahan” di KKM, Khairy berkata menambah baik prasarana dan fasiliti kesihatan serta memberi tumpuan kepada kebajikan jururawat dan pengamal kesihatan bersekutu adalah antara perkara yang ingin dilakukannya.

“Sejak beberapa minggu lalu, saya turun ke lapangan untuk meninjau fasiliti kesihatan di luar bandar termasuk di Sabah, Sarawak, Kedah dan beberapa negeri lain.

“Saya melihat status prasarana kesihatan kita banyak yang berada dalam keadaan daif dan sekiranya diberikan “waktu tambahan” mestilah (perkara) itu menjadi satu daripada keutamaan supaya kita tidak bazirkan pengalaman (menghadapi) pandemik,” katanya, selain turut akan memberi tumpuan kepada soal kebajikan kumpulan jururawat dan pengamal kesihatan bersekutu yang lain.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram