POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki bertindak menembak anjing jalanan hingga mati menggunakan busur panah yang tular di media sosial sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah memaklumkan, kertas siasatan itu dibuka susulan satu laporan polis dibuat orang awam yang terkesan dengan video berdurasi 18 saat yang tular tersebut.

Menurut Ashari, video tular itu memaparkan suspek yang memakai baju warna hitam telah mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing di sebuah kondominum di Setapak.

Kata beliau, lelaki tersebut kemudiannya bertindak menembak menggunakan anak panah sehingga menyebabkan anjing berkenaan mati.

Bagaimanapun, Ashari menegaskan pihaknya masih meneruskan siasatan dalam usaha mengesan suspek.

Baca artikel berkaitan: Polis buru lelaki panah anjing terbiar hingga mati

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak kurang daripada RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta tidak melebihi 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ashari dalam kenyataan memaklumkan polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak membunuh anjing jalanan dengan menggunakan panah di hadapan sebuah kondominium dekat Wangsa Maju.

Kejadian terbabit tular sejak Rabu selepas dikongsikan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia di media sosial.

Jelasnya, kejadian dipercayai berlaku pada hari Rabu berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengawal keselamatan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram