Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak GAMBAR: Abd Razak Aid

SEORANG pegawai AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau perlu berhati-hati dalam menguruskan akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia satu akaun ‘sensitif’ yang dimiliki individu terdedah secara politik (PEP).

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat, 57 berkata, perkara itu juga disebabkan jumlah wang yang besar yang dimasukkan menerusi dua transaksi ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri itu dengan kod AmPrivate Banking-MR pada 2011.

“Pada ketika itu, Datuk Seri (Najib) merupakan Perdana Menteri kita dan terdapat sejumlah wang yang besar pada transaksi.

“Jika pasaran wang tahu dari segi jumlah, ia (pasaran wang) akan mengambil tempat ke hadapan dan ia akan menjejaskan nilai Ringgit,” katanya pada pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes Najib melibatkan penyelewengan RM2.3 Bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam saksi pendakwaan ke-38 itu memberikan keterangan bahawa beliau telah diberikan tugas untuk menukarkan dana US dollar (AS) kepada ringgit (RM) yang dimasukkan oleh Putera Saudi, Putera Faisal Bin Turkey Bin Bandar Al Saud pada 2 Feb dan 14 Jun 2011.

Baca artikel berkaitan: 2 syarikat berkaitan Jho Low masukkan RM2.2 bilion ke akaun Najib – Pegawai bank

Merujuk kepada dua dokumen Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT), Yap berkata wang itu AS$9,999,977 ditukar kepada RM30,449,929.97 pada 24 Feb 2011 dan AS$9,999,970 ditukar kepada RM30,174,929 pada 14 Jun, 2011.

Wan Aizuddin kemudian bertanya kepada saksi itu sama ada pasaran mata wang akan terjejas jika penerima bukan Najib dan jumlah wang yang masuk hanya AS$10 juta, yang dijawab saksi itu secara negatif.

“Tidak, pasaran tidak akan terjejas kerana AS$10 juta tidak banyak berbanding jumlah yang masuk dalam akaun Datuk Seri. Anda perlu berhati-hati kerana jumlah (wang) jauh lebih besar, sebab itu saya rasa pengurus perhubungan Datuk Seri (seorang lagi pegawai AmBank, Joanna Yu) mencipta nama kod AmPrivate Banking-MR untuknya,” kata saksi itu.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 3 Okt.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram