PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlepas pulang ke tanah air hari ini selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). GAMBAR: Pejabat Perdana Menteri

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlepas pulang ke tanah air hari ini selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada 11.30 pagi (3.30 petang waktu Malaysia).

Menteri Negara dan Menteri Pengiring, Ahmad Ali Al Sayegh turut hadir di lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri.

Ismail Sabri tiba di Abu Dhabi pada Isnin dari New York selepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 minggu lepas.

Di UNGA yang menghimpunkan lebih 150 pemimpin dunia untuk acara tahunan itu, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara dalam bahasa Melayu – kali pertama oleh seorang pemimpin Malaysia berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

Beliau turut menyentuh pelbagai isu antarabangsa antaranya konflik di Ukraine, isu Myanmar dan Palestin serta sekuriti makanan dan perubahan iklim.

Baca artikel berkaitan: PM ucap tahniah kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman

Ismail Sabri turut mencadangkan mewujudkan mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa di tengah-tengah peningkatan inflasi global.

Ini adalah kali kedua Ismail Sabri berucap di UNGA. Beliau membacakan Kenyataan Negara secara maya pada sesi ke-76 tahun lepas, berikutan pandemik COVID-19.

Di luar UNGA, Ismail Sabri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Beliau juga menganjurkan majlis makan malam “Keluarga Malaysia” untuk diaspora Malaysia di Amerika Syarikat.

Semasa berada di Abu Dhabi selama empat hari, perdana menteri mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Ismail Sabri mengambil peluang mempelawa UAE untuk menyertai projek pembangunan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, serta pelaburan berbalik untuk menyokong Dasar Sekuriti Makanan kedua-dua negara dan membantu UAE menjadi hab makanan di Timur Tengah kerana Malaysia mempunyai tanah yang luas dan sesuai untuk pelabur asing melabur dalam bidang pertanian.

Beliau juga melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), Masjid Sheikh Zayed dan Wahat Al-Karama, tugu peringatan untuk pejuang UAE yang syahid.

Nilai dagangan antara kedua-dua negara telah meningkat 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama tahun ini kepada RM25.6 bilion, melebihi nilai keseluruhan pada 2021, iaitu RM22.29 bilion.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram