Belanjawan 2023: Hargai bakat, tingkatkan produktiviti dan cipta nilai

Dari Penulis

BAGI pihak Majlis Perundingan Melayu (MPM) saya rakamkan terima kasih kepada Menteri Kewangan dan kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) di atas pembentangan Belanjawan 2023.Pembentangan Belanjawan Tahunan adalah sesuatu yang rutin yang wajib dilakukan oleh kerajaan bagi dibentang di Parlimen. Jika tidak, tahun depan kerajaan tidak dapat berfungsi kerana belanjawan tahunannya tidak diperakui.

Templat penyediaan belanjawan telah ada, iaitu templat yang sama digunakan sejak puluhan tahun yang lalu. Apa yang berlainan setiap tahun hanyalah perbezaan kosmetik dengan beberapa keutamaan mengikut keperluan semasa.

INDUSTRI memerlukan tenaga kerja asing untuk melakukan pelbagai kerja – GAMBAR HIASAN

Jika ada peningkatan dalam jumlah belanjawan, itu adalah sesuatu yang konsisten dengan kadar pertumbuhan ekonomi semasa, kecualilah peningkatan belanjawan itu mengatasi kadar pertumbuhan KDNK.

Jika diambilkira penyusutan nilai ringgit semasa, peningkatan peruntukan dari RM332.1 bilion (2022) kepada RM372.3 bilion bagi tahun 2023, kerajaan sewajarnya berbelanja lebih besar untuk menangani kegawatan ekonomi, penyusutan nilai ringgit dan peningkatan kadar inflasi.

Jika dibandingkan nilai ringgit setahun yang lalu dengan nilai semasa, RM372.3 billion itu tak sampai 2.5% kenaikan berbanding belanjawan setahun yang lalu. Pada hemat saya, ia bukanlah belanjawan untuk berdepan dengan ketiga-tiga krisis itu.

Tidak pasti juga sejauh mana perancangan terkandung dalam RMK yang disediakan setiap 5 tahun, digunapakai atau dirujuk dalam penyediaan belanjawan tahunan. Jika ia, maka sewajibnya EPU terlibat secara langsung dalam penyediaan rangka belanjawan tahunan.

Saya tidak berhasrat mengulas lanjut perincian Belanjawan 2023 itu. Banyak manfaat yang telah dinyatakan yang pastinya menarik perhatian banyak pihak, terutama pakar ekonomi dan kewangan. Keluarga Malaysia pastinya gembira dapat menikmati kemakmuran secara bersama.

Secara peribadi saya hanya ingin melihat tiga perkara pokok ini yang amat signifikan, yang pastinya mempengaruhi perolehan dan perbelanjaan negara. Saya kurang pasti di mana ia tersorok dalam Belanjawan 2023:

• Bakat & perolehan
• Produktiviti & daya saing
• Penciptaan nilai

  1. Bakat & perolehan

Saya tak pasti sama ada MOF menyimpan perangkaan berapa banyak kerajaan telah berbelanja membangunkan bakat berjuta warga Malaysia. Ramai daripada mereka ini telah pun berhijrah ke negara yang lebih produktif dan berdaya saing, seperti 3 buah negara anggota pasaran RCEP, iaitu Singapura, Australia dan New Zealand. Mohon teliti laporan World Bank Malaysia mengenai ‘brain drain. ‘

Jika tidak disekat proses ‘brain drain ‘ ini dan sebaliknya dibangunkan program penggalakan pembukaan bisnes atau pekerjaan di luar negara, Malaysia akan rugi besar kerana terlepas peluang untuk mempertingkatkan perolehan, manfaat tangible atau peningkatan likuiditi dalam negara melalui program pembangunan bakat. Hatta, program pembangunan bakat itu ibarat satu program “belanja hangus”. Saya tak perlu hurai panjang lebar di sini. Para pegawai di MOF jauh lebih bijaksana mentakrif mesej saya ini.

  1. Produktiviti & daya saing

Semasa Randau MPM Ke-14 pada 30 September 2022 bertemakan “Kemakmuran negara tempang, dilanda krisis ekonomi-kewangan”, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob ada menyarankan untuk diberikan tumpuan khas kepada PMKS bagi meningkatkan daya saing mereka agar mampu bertahan terutama dalam suasana andai kata kegawatan berganda benar-benar terjadi.

Pastinya MOF mengambilkira impak ini kerana pada tarikh yang sama, iaitu 30 September 2022, Malaysia telah secara rasminya meratifikasi CPTPP (Comprehensive & Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership).

Tinjauan harga barangan basah seperti sayur-sayuran dan ayam berikutan kenaikan harga barang di sekitar Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

Perjanjian itu membawa makna yang kita sudah membuka pasaran domestik kepada semua pemain industri dari semua 11 negara pasaran RCEP, secara setara dan saksama. Jika PMKS atau GLC dari Singapura misalnya, lebih berdaya saing berbanding PMKS atau GLC tempatan, maka tewaslah kita, sekalipun di pasaran domestik.

Dalam Belanjawan 2023, MOF ada peruntukkan dana bagi pertumbuhan PMKS. Soalnya berapa banyak peruntukan bersasar yang MOF sediakan untuk MATRADE, MIDA, SME Corp dan MPC terutamanya, boleh dibelanjakan bagi memastikan PMKS dan GLC tempatan boleh menjadi lebih produktif dan berdaya saing tinggi untuk lebih mampu bersaing di pasaran global.

Keempat-empat agensi itu hendaklah dipertanggungjawabkan mensasarkan dengan tepat dan memilih dengan betul dan telus, beserta dengan akujanji, PMKS dan/atau GLC yang mampu dan layak turut serta agar apa jua fasiliti dan pendanaan yang diperuntukkan, membuahkan hasil yang disasarkan.

Tempoh setahun Belanjawan 2023, adalah terlalu singkat, tapi itulah hakikatnya untuk memastikan jaguh-jaguh kita lebih produktif dan berdaya saing tinggi. Atau, tenggelam dalam persaingan serantau!

  1. Penciptaan nilai (Value creation)
    Saya tak pasti sama ada dalam penyediaan Belanajwan 2023 ini MOF mengambilkira elemen penciptaan nilai dari aspek perbandaran.

Sayugia kita semua maklum tahap perbandaran di Malaysia telah hampir mencapai 80% dari peratusan kependudukan. Maknanya, semakin luas kawasan jajahan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini. Soalnya, adakah dengan pengazetan kawasan-kawasan baharu ini, terutama yang melibatkan banyak kampung tradisional di pinggir bandar, mengambil kira penciptaan nilai yang boleh memanfaatkan pemilik tanah-tanah tersebut.

UDA telah lama dimansuhkan, maka agensi manakah yang wajib kerajaan pertanggungjawabkan untuk mengawalselia dan menerajui pembangunan kawasan-kawasan baharu yang digazetkan sebagai kawasan bandar, sebelum ia dieksploitasi oleh pemaju oportunis. MPM telah berkali-kali mengesyorkan agar MARA menubuhkan Jabatan UDA tetapi agensi ini kurang peka dengan agenda seperti ini terutama yang memanfaatkan bumiputera.

Begitu juga dengan beberapa RKT FELDA yang kini berada di tengah-tengah kawasan perbandaran baharu. Apakah usaha kerajaan untuk memudahcara FELDA membangunkan RKT yang terbabit sebagai pusat pertumbuhan baharu dan berhijrah dari perkebunan kepada aktiviti pertanian hiliran misalnya?

Pastinya ia akan memanfaatkan setiap peneroka yang memiliki tanah sekitar 8 ekar sekeluarga, yang kini bernilai jutaan ringgit. Penciptaan nilai ini banyak impaknya dari aspek pembangunan, pengewangan dan pendanaan bisnes terutama dalam kalangan PMKS yang berkaitan.

Penulis adalah Setiausaha Agung MPM


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Remaja 17 tahun maut Honda Wave terlibat kemalangan dengan lori

SEORANG remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori...

More Articles Like This