SEBUAH kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena terbakar ketika berhenti isi minyak di sebuah stesen minyak dekat Segambut Dalam, pagi semalam.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan membabitkan kejadian pada pukul 10.33 pagi.
Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bersama jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan, bomba tiba di lokasi dan mendapati kenderaan terbabit yang berada di tempat pengisian minyak telah terbakar dengan sendirinya.
“Api telah dipadamkan oleh orang awam dengan menggunakan alat pemadap api yang berada di stesen minyak tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Kemusnahan kebakaran dianggarkan sebanyak lima peratus di bahagian tangki minyak.
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

