KERAJAAN sentiasa cakna mengenai isu yang membelenggu golongan muda khususnya berhubung peluang pekerjaan dan pendidikan dalam negara ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara langkah yang telah dilaksanakan kerajaan untuk menyelesaikan isu tersebut adalah dengan memperkenalkan inisiatfi lepasan sekolah dan graduan.
Jelas beliau, inisiatif itu membenarkan majikan untuk menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
“Peruntukan RM4.8 bilion telah disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberikan 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia.
“Kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan kadar minimum Elaun Sara Hidup (ESH) dari minimum RM650 ke maksimum RM950 sebulan bagi pelajar dalam negara dan minimum RM1,380 sebulan ke maksimum RM7,600 sebulan bagi pelajar luar negara dari pelbagai peringkat pengajian.
“Kerajaan turut mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta menerusi Program ePemula iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai yang dimanfaatkan oleh golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa pada pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.
Baca lagi: “Orang ZAMAN DULU lagi susah,” – Salahkah buat perbandingan anak muda dulu dan sekarang?
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan projek Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara telah dilaksanakan menerusi pembinaan lima menara telekomunikasi baharu.
Jelas beliau, pembinaan itu lengkap dengan rangkaian 4G serta memastikan hampir 4,000 premis dilengkapi dengan gentian optik.
Katanya, bagi memenuhi kehendak era Pendidikan 5.0 serta mendorong budaya kerja cemerlang, kreatif dan inovatif, kerajaan akan memastikan kemudahan dan infrastruktur institusi pendidikan sentiasa dinaik taraf dengan pelbagai pembaharuan.
“Sebanyak 12 peratus anak muda telah menyuarakan tentang isu politik dengan menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin.
“Kerajaan amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini. Lebih- lebih lagi, terdapat 46.2 peratus hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.
“Saya yakin, dengan mengambil cakna terhadap suara, solusi, dan aspirasi anak muda kepada Kerajaan, kita mampu untuk bersama-sama menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

