DEMI menyelamatkan rakyat dan negara daripada Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diharap berbaik dan bergabung tenaga dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Itu harapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung polemik politik antara UMNO dan Bersatu yang kian hangat ketika ini.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tidak ada sebab untuk segelintir ahli UMNO dan ahli Bersatu menolak kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.
“Apabila UMNO mengajak Pas untuk berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimiliki oleh UMNO, maka ditubuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN).
“Ia dengan persetujuan yang ditandatangani bersama piagamnya, kemudian bersetuju dimasukkan juga Parti Bersatu ke dalam gabungan MN.
“Maka, tiada sebab yang munasabah untuk merungkainya dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan kepada gabungan yang hanya terhad kepada UMNO dan Pas sahaja,” katanya dalam Facebook hari ini.
Baca lagi: Tiada kerjasama babit perkara dosa, rasuah dan salah laku – Abdul Hadi
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas membawa agenda perpaduan umat serta konsep wasatiyyah walaupun pernah bermusuhan dengan Barisan Nasional (BN).
Jelas beliau, keadaan itu ditumpulkan dan dipatahkan apabila masing-masing disatukan dengan penganjuran himpunan Kongres Maruah Melayu yang mana memujuk parti-parti besar Melayu Islam dan bumiputera bersama kalangan ilmuwan terkemuka dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Adapun Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mengambil alih kerajaan pusat secara campuran pula berideologi pragmatik dengan berbagai-bagai parti yang termakan dengan tawaran yang menarik.
“Tambahan lagi, rakyat ditipu dengan manifesto yang tidak dapat ditunaikan dan merupakan janji bohong, berserta dukungan pemberi rasuah yang lebih mudarat daripada penerima rasuah dan pelbagai makhluk asing.
“Setelah memperoleh kemenangan bukan memikirkan cara menyelesaikan masalah negara dan rakyat, tetapi secara rakus berkuasa dan berbahas berkenaan siapakah Perdana Menteri,” katanya.
Abdul Hadi berkata, Pas berharap supaya perpaduan yang berjaya diusahakan sehingga berjaya menubuhkan kerajaan campuran PN bersama parti-parti dari Sabah dan Sarawak, bergabung bagi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam dan bumiputera.
Selain itu, katanya, Pas juga berharap parti bukan Islam yang tidak ekstrem menolak PH yang berideologi pragmatik dan liberal yang tidak boleh menyelamatkan negara dan masyarakat majmuk di negara ini.
“Kalau mereka boleh menerima ideologi ciptaan Karl Marx, Adam Smith dan sebagainya yang bukan berbangsa Melayu, Cina mahupun India, mengapa mereka tidak boleh menerima Islam menjadi dasar dan konsep negara tanpa paksaan menganut agama Islam?,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

