ISU berhubung pembubaran Parlimen dilaporkan tidak dibincangkan sewaktu sesi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Memetik laporan portal berita Malaysiakini, perkara tersebut disahkan sumber rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin pula memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang titah berhubung pembubaran Parlimen.
“Tuanku tak titah buat apa-apa kenyataan,” katanya ringkas.
Laporan itu turut menyebut, Ahmad Fadil memaklumkan kemungkinan kerajaan akan meneruskan pentadbiran seperti biasa dan membentangkan Bajet 2023 esok.
Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan di Facebook memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadap Perdana Menteri untuk mesyuarat pra-Kabinet.
“Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri hanya mengambil masa kira-kira 45 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong, petang tadi.
Baca artikel berkaitan: Hanya 45 minit, PM selesai menghadap Agong di Istana Negara
Perdana Menteri yang menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna putih dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira pukul 4.45 petang tadi.
Beliau sekali lagi sempat menurunkan tingkap kereta dan melambai kepada petugas media di luar perkarangan Istana Negara.
Ismail Sabri sebelum itu tiba di Istana Negara pada pukul 3.48 petang tadi.
Sejurus selepas meninggalkan Istana Negara, Ismail Sabri dilaporkan menghadiri pertemuan dengan ‘Top 5’ kepemimpinan UMNO di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara itu adalah rutin biasa untuk Perdana Menteri sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Bagaimanapun, sesi menghadap kali ini mendapat perhatian meluas berikutan spekulasi bahawa Perdana Menteri akan memohon pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ia susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat lalu yang memutuskan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

