MESYUARAT Kabinet hari ini bersetuju untuk menaikkan subsidi telur ayam gred A, B dan C sebanyak 5 sen kepada 8 sen.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa dalam hantaran di Facebook.
Annuar menjelaskan, langkah berkenaan bermakna kerajaan akan menanggung lebih daripada RM90 juta sebulan bagi subsidi telur ayam.

Pada masa sama, Annuar memaklumkan, Kabinet juga bersetuju supaya harga kawalan telur gred A, B dan C tidak dinaikkan atau diapungkan demi menjaga keperluan rakyat.
“Kabinet mengambil kira kos pengeluaran yang meningkat dan harga kawalan menyebabkan pengeluar kerugian serta terpaksa mengurangkan pengeluaran yang seterusnya menyebabkan bekalan berkurangan.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, Kabinet bersetuju menerima syor Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jawatankuasa Jihad Inflasi supaya subsidi sebanyak 3 sen pada masa ini dinaikkan kepada 8 sen,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Syor tangani kekurangan bekalan telur ke mesyuarat Kabinet
Mengulas lanjut, Annuar berkata, Kabinet juga bersetuju supaya dasar subsidi ayam bulat yang sedia ada diteruskan.
Jelas beliau, Jemaah Menteri juga bersetuju kuota tambahan sementara sebanyak 5,000 tan metrik sebulan diluluskan kepada KPDNHEP.
“Ia bagi meningkatkan bekalan minyak masak bersubsidi 1 kilogram terutama bagi rangkaian kedai Jualan Murah Keluarga Malaysia,” jelas beliau.
Semalam, Annuar memaklumkan cadangan bagi menangani kekurangan bekalan telur gred tertentu dibawa ke mesyuarat Kabinet, hari ini.
Katanya, hanya bekalan telur bagi gred-gred yang diletakkan harga kawalan didapati berkurangan di pasaran berikutan subsidi kerajaan didakwa tidak cukup menarik bagi pengeluar.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

