[VIDEO] “Kaya atau miskin itulah ujian buat kita…,”- Luahan rasa Jamal Abdillah dalam Yang Memiliki

Dari Penulis

FIGURA hebat ini antara penyanyi legenda yang masih aktif dalam berkarya dan membuat persembahan. Malah, sambutan terhadap dirinya juga tidak pernah sunyi. Peminatnya juga muncul dari setiap generasi dan zaman.

Malah, Datuk Jamal Abdillah dilihat sebagai penyanyi yang bijak mengatur kerjaya seni agar terus kekal relevan. Selain muncul dengan single baharu, kolaborasi dengan beberapa penyanyi muda dan popular masa kini antara pendekatan dibuat.

Terbukti hasilnya berjaya apabila lagu yang dirakam Jamal bersama mereka menjadi siulan anak muda dan kekal trending hingga kini.

Terbaharu, Jamal, 63, muncul dengan single Yang Memiliki hasil ciptaan sepenuhnya oleh Khusam dan Zaira Sham yang sudah dilancarkan secara rasmi pada 9 September lalu.

Jamal berkata, single tersebut cukup dekat dengan kehidupan seharian selain apa yang dinikmati hari ini hanya bersifat sementara.

“Lagu ini mengisahkan mengenai kita sebagai manusia hanyalah hamba yang menumpang sementara di atas muka bumi ini. Segala kenikmatan yang kita miliki hanyalah dipinjamkan oleh Allah SWT.

“Kenikmatan yang dipinjamkan untuk kita terlalu banyak. Sejauh mana kita memilih untuk ke arah kebaikan atau sebaliknya, semuanya adalah pilihan kita.

“Kaya atau miskin itulah ujian buat kita. Segala kehebatan, keindahan, kecantikan, kesempurnaan, keagungan dan segala yang baik-baik adalah daripada Allah, Pemilik dan Pencipta yang abadi,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Yang Memiliki, Jamal berkata dia jatuh cinta dengan melodi dan lirik yang dihasilkan.

“Lagu dan lirik Yang Dimiliki disiapkan demonya terlebih dahulu oleh penerbit dan pencipta lagu iaitu Kusham sebelum diperdengarkan kepada saya. Kali pertama mendengar, saya suka dan terus menyatakan persetujuan.

“Selepas itu baru pihak penerbit bawa kepada pihak Universal Music Malaysia untuk proses seterusnya. Alhamdulillah, pihak Universal berminat dan proses rakaman pun bermula,” kongsinya.

Menariknya mengenai proses rakaman lagu berkenaan, muzik disusun oleh Kusham dan alat muzik dimainkan secara langsung oleh pemuzik professional.

Sementara itu, penerbit lagu, Kusham berkata, proses rakaman berlangsung selama dua jam.

“Apabila muzik siap dirakam, proses merakam suara Datuk Jamal pun dilakukan. Rakaman suara mengambil masa lebih kurang dua jam. Proses rakaman berlangsung di One Scream Studio.

“Selepas itu, proses adunan digalas oleh Raja Iskandar atau Is Wow. Bagi saya, ini satu lagi pengalaman berharga buat kami apabila dapat bekerjasama dengan legenda. Proses yang mudah dan sangat profesional,” katanya.

Kusham juga berharap lagu Yang Memiliki bukan sekadar lagu dan hiburan, tapi dapat memberikan manfaat buat semua pendengar.

“Semoga lagu ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi dapat mendidik jiwa pendengar ke arah kebaikan yang dicari,” ujarnya.

Single Yang Memiliki boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Selama ini tak pernah terfikir…,” – Iman Troye taruh kreativiti demi showcase solo

PENYANYI, Iman Troye meluahkan rasa teruja bercampur gemuruh apabila namanya dipilih sebagai antara pengisi utama bagi siri persembahan eksklusif,...

More Articles Like This