Keputusan bubar Parlimen rentetan tindakan 12 menteri PN – PM

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEPUTUSAN untuk mendapat perkenan supaya Parlimen dibubarkan adalah rentetan daripada tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan 12 menteri PN mengutuskan warkah membantah supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak diadakan tahun ini itu menunjukkan sikap yang tidak wajar.

Justeru, kata beliau, pembubaran Parlimen adalah bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut beliau, tindakan 12 menteri PN itu juga jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jelas Perdana Menteri, ia sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

“Seperti yang saya jelaskan dalam perutusan khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan ‘pintu belakang’ dan kerajaan ‘tebuk atap’ dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

“Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri sendiri membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

Malah, beliau berkata, tindakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

Baca artikel berkaitan: Menteri PN utus surat kepada Agong tidak mahu PRU-15 tahun ini

“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik keapda Keluarga Malaysia.

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang,” jelas beliau.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah manzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dalam negara.

Pada masa sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Seri Paduka tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil.

Justeru, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat.

Kata beliau, ia mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November depan.

Rabu lalu, seramai 12 menteri PN dilaporkan mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan hasrat tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini.

Menteri PN memohon pertimbangan Yang di-Pertuan Agong supaya PRU-15 tidak diadakan dalam masa terdekat mengambil kira ketidaksesuaian masa.

Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi sejak minggu lalu bahawa Parlimen akan dibubarkan.

Dalam perutusan khas pada pukul 3 petang itu, Ismail Sabri memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Sanusi yakin sapu bersih kerusi DUN, Parlimen Kedah

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meluahkan keyakinan tinggi bahawa Pas mampu menyapu bersih semua kerusi...

More Articles Like This