PAHANG menjadi negeri pertama membubarkan dewan undangan negeri (DUN) selepas pembubaran parlimen diumumkan Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu, diikuti oleh Perlis yang juga membuat pengumuman sama hari ini.
Pengumuman mengenai pembubaran DUN dibuat Menteri Besar sementara, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang media khas di Kuantan, manakala pengumuman pembubaran DUN Perlis diumumkan Menteri Besarnya Datuk Seri Azlan Man.
Wan Rosdy ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan, beliau sudah menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam pada Rabu lalu bagi memohon perkenan pembubaran DUN.
“Pembubaran DUN dibuat selepas selesai perbahasan Belanjawan Pahang 2023 dan (belanjawan) diluluskan.
“Pembubaran ini adalah selaras dengan Fasal 2(26) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang,” katanya.
“DUN Perlis dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk memberi laluan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15,” kata Azlan memetik laporan Bernama.
Perlis dan Pahang dijangka hanya menjadi dua negeri membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas negeri-negeri lain dijangka tidak berbuat demikian kerana alasan musim banjir sedang melanda.
BERITA BERKAITAN Pilihan raya kali ini hanya untuk pilih Ahli Parlimen?
Wan Rosdy merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepanjang kerajaan Pahang diterajuinya memerintah negeri selama 53 bulan.
Mengenai calon untuk pilihan raya pula, Wan Rosdy berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.
Sementara itu, Azlan berkata pembubaran DUN itu telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya beliau dan Speaker DUN Perlis Datuk Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.
“Alhamduillah baginda telah memberi perkenan dan tarikh pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kangar hari ini.
Azlan Man berkata Raja Perlis juga telah menandatangi pengisytiharan pembubaran DUN Perlis berkuat kuasa hari ini.
“Jadi PRU Negeri akan diadakan serentak dengan PRU15 dan kita akan serahkan segala urusan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk membuat tindakan sewajarnya,” katanya.
Perlis mempunyai 15 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN penggal ke-14, sepuluh kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), tiga PKR dan dua PAS.
– UtusanTV

