PELAKON berbakat besar, Zahiril Adzim menerima tawaran berlakon filem Siku 12 terbitan Power Team Entertainment Sdn. Bhd, dek tertarik dengan jalan cerita naskhah terbabit.
Menerusi filem arahan Azhari Zain itu, Zahiril bergandingan dengan aktor terkenal, Syafiq Kyle selaku teraju utama.
Ia dimantapkan dengan barisan pelakon seperti Moon, Lobak, Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor, Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Chot.
Pelakon yang mengukir nama menerusi filem Bunohan dan Pekak itu berkata, dia ditawarkan pengarah untuk berlakon dalam filem Siku 12 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Zahiril, watak pemuda keturunan Siam, A Wut dalam filem Siku 12 sesuai dengannya kerana pernah menonton lakonan dalam filem Bunohan.
“Saya sendiri berminat dengan jalan cerita yang mengangkat seni mempertahankan seni silat Siku 12. Pada masa sama, saya melihat senarai barisan pelakon juga bagus dan berbakat besar,” katanya kepada URTV.

Ditanya pengalaman bekerja dengan Azhari, kata Zahiril, dia sudah tahu cara pengarah itu bekerja kerana pernah bekerjasama dengannya.
“Kami pernah bekerjasama dalam filem Dukun Santet. Selaku pengarah, Azhari menerima cadangan pelakon bagaimana mahu menjiwai karakter.
“Azhari juga akan memberi penerangan kepada pelakon memahami dari segi karakter dan koreografi sebelum penggambaran bermula.
“Walaupun suara Azhari kuat ketika memberi arahan kepada pelakon, tetapi saya tidak pernah tertekan sepanjang penggambaran filem ini,” ujarnya.
Berkongsi cabaran, kata Zahiril, dia perlu banyak berlatih menjiwai babak pertarungan kerana tiada asas dalam seni mempertahankan diri Muay Thai mahupun seni persilatan Melayu.
“Mujur saya ada pengalaman belajar Muay Thai ketika berlakon dalam filem Bunohan. Sedikit sebanyak membantu saya di lokasi penggambaran filem Siku 12.
“Pada masa sama, saya menjalani latihan bersama ahli Kelab Pon Muay Thai, Kedah untuk menguasai babak bertinju dan pertarungan sebelum memulakan penggambaran.
“Setiap kali berlakon dalam filem aksi, saya tidak boleh mengelak mengalami lebam di tangan dan calar di kaki atau sakit badan.
“Begitu juga dalam filem Siku 12. Ia perkara biasa apabila berlakon dalam filem aksi kerana perlu nampak seperti peninju sebenar beraksi di gelanggang.
“Antara cabaran lain dihadapi ialah saya perlu menguasai dialek Siam untuk menjiwai karakter A Wut.
“Mujur saya dibantu ahli kelab Pon Muay Thai yang berdarah kacukan Melayu-Siam ketika di lokasi penggambaran,” katanya.
Mengenai gandingan dengan Syafiq, kata Zahiril, pelakon muda itu bagus dan mudah mendapat keserasian dengannya.

“Sebelum memasuki lokasi penggambaran, Syafiq sudah membuat kajian mengenai watak. Syafiq juga berbincang dengan saya bagaimana mahu membangunkan karakter mengikut tuntutan skrip filem.
“Apapun, saya sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuan,” ungkapnya.
Dalam perkembangan lain, kata Zahiril, dia gembira melihat sambutan penonton pada filem tempatan di pawagam ketika ini.
“Alhamdulillah, selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan disusuli filem The Assistant dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, saya percaya filem Siku 12 akan mendapat sambutan dan diterima peminat filem.
“Saya berharap filem Siku 12 akan membuka mata ramai pihak memperkenalkan seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia,” katanya.
Filem Siku 12 akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober ini. Ia juga ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

