PELANTIKAN jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) didakwa, bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
Ini selepas dipercayai pelantikan pada Julai 2018 adalah mereka yang dipersetujui dalam perbincangan sulit di antara Tan Sri Tommy Thomas dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mendakwa, pelantikan tersebut melibatkan jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Dakwanya, nama-nama dilantik pada masa itu nyata berbeza dengan senarai pilihan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
“Ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di mana seperti ditegaskan dalam m/s 38-40 laporan pasukan khas – seorang Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk memilih calon hakim untuk mahkamah-mahkamah seperti di atas.
“Sebaliknya, sebarang nama yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah berasaskan cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
“Perdana Menteri boleh mohon untuk beberapa nama lain untuk sesuatu kekosongan, tetapi hendaklah dari kalangan senarai itu. Bukan pilihan sendiri bersama Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Baca artikel lain: Kertas siasatan Hakim Mohd Nazlan selesai
Laporan Pasukan Petugas Khas siasatan ke atas buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ tulisan Tommy kini boleh dimuat turun dari laman web Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu dipercayai akan membantu kerajaan membuat keputusan sewajarnya berhubung dakwaan Tommy.
Wan Junaidi turut berharap penemuan dalam laporan itu akan memberi pencerahan kepada banyak persoalan dan reaksi bercampur-campur yang diterima ketika buku terbabit kali pertama diterbitkan.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, Peguam Negara bukan ahli suruhanjaya maka tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencadangkan mana-mana nama kepada Perdana Menteri.
Katanya, ini bukan persoalan integriti mana-mana hakim yang dilantik, jauh sekali mempersoal keabsahan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.
Namun, ianya telah membongkar satu lagi kegagalan dan penipuan PH yang sering melaungkan slogan mahu mengurangkan salah guna kuasa serta campur tangan dalam bidang kehakiman.
“Terang, terang satu prosedur dan undang-undang yang dibuat zaman Pak Lah untuk memperkasa sistem kehakiman dan memperkuat pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman, telah dikesampingkan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau berkata, hari ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), PH terus menjaja slogan serupa demi meraih undi masyarakat.
“Konon mereka bersih. Lebih reformis. Lebih ikhlas. Lebih ‘rakyat’. Mereka tuduh UMNO hendak menang sebab mahu campur tangan kes mahkamah. Mahu percaya lagikah?
“Atau lebih mahu percaya laungan pemimpin mereka yang secara gah berkata dalam ceramah, ‘kami akan sumbat kamu dalam penjara lepas menang’.
“Ini bukan mirip perjuangan untuk rakyat. Ini perjuangan politik dendam. Mereka benci segala yang berkait dengan UMNO, dengan BN. Mereka mengajak rakyat turut sama benci. Tapi bukannya untuk rakyat. Untuk kepuasan hati dan nafsu mereka,” dakwanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

