[DIKEMASKINI] SEBANYAK 149 orang dilaporkan maut dalam tragedi sambutan Halloween di bandar Itaewon, Korea Selatan, lewat malam tadi.
Memetik laporan The Korea Herald, menurut pihak berkuasa tempatan 78 orang turut dilaporkan cedera.
Pihak bomba mengatakan, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada pukul 10.22 malam waktu tempatan memaklumkan terdapat kejadian sesak nafas di Itaewon, Yongsan-gu, Seoul.
Kata pihak bomba, 101 mayat telah dihantar ke hospital manakala baki telah dipindahkan ke sebuah gimnasium berhampiran dan proses mengenal pasti identiti mangsa sedang dilakukan.
Seramai 848 anggota dan pegawai keselamatan termasuk 364 anggota bomba serta 142 ambulans dikerah ke lokasi kejadian.
Sementara itu, menurut beberapa laporan media tempatan kebanyakan mangsa yang maut merupakan mereka berusia dalam lingkungan 20-an.
Sebelum itu, Agensi Berita Yonhap dalam laporan awalnya mengatakan sekurang-kurangnya 59 disahkan maut manakala lebih 150 dilapor cedera.
Kemudian angka itu meningkat kepada 120 orang menjelang pukul 1 pagi waktu tempatan.
Sejak tengah malam tadi tular video-video anggota kesihatan dan bomba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada kira-kira 50 mangsa yang dikatakan mengalami serangan jantung secara tiba-tiba selepas bersesak-sesak.
Mangsa-mangsa bergelimpangan di tepi jalan sambil pegawai perubatan cuba memberi rawatan awal.
Baca artikel berkaitan: Mulianya hati, orang ramai bantu kutip duit RM12,500 bertaburan atas jalan
Dianggarkan lebih 100,000 orang membanjiri kawasan sambutan bagi menyambut sambutan Halloween.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dikatakan telah memanggil mesyuarat kecemasan.

