PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan melaksanakan skim perumahan yang dibentangkan dalam Bajet 2023 sekiranya diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, Bajet 2023 memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan penyediaan kediaman yang mencukupi melalui peruntukan sebanyak RM372.3 bilion.
“Saya beri jaminan bahawa semua skim perumahan ini akan dilaksanakan jika bajet yang dibentangkan dapat dibentangkan semula dan kerajaan yang saya terajui dipilih semula pada PRU-15, 19 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek PPR Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre, hari ini.
Bajet 2023 antara lain memperuntukkan RM367 juta melibatkan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk manfaat 12,400 penghuni baharu.
Turut dirancang Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM358 juta.
Selain Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia bagi memastikan keadaan perumahan strata kos rendah dan sederhana yang selamat termasuk menggantikan lif-lif rosak dengan peruntukan sebanyak RM90.4 juta.
Baca artikel lain: Projek PPR Bera manifestasi kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, negeri – PM
Tersenarai sama Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM3 bilion terutamanya golongan belia bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan tiada pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing untuk memiliki rumah.
Pada majlis tersebut, Ismail Sabri mengumumkan, satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Kepala Batas bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah.
Katanya, projek bernilai RM113 juta itu melibatkan pembinaan sebanyak 700 unit rumah pangsa empat tingkat beserta kemudahan asas yang akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).
“Projek PPR Kepala Batas ini turut menyediakan tujuh unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit.
“Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

