Shahidan sah diumum calon PN di Arau, dakwa Zahid penipu

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

DATUK Seri Shahidan Kassim mengakhiri teka-teki berhubung penyertaannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila sah bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Ia susulan pengguguran nama Menteri Wilayah Persekutuan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau sejak empat penggal lalu itu daripada senarai calon Barisan Nasional (BN).

Nama Shahidan sebagai calon PN diumumkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu di Marang, sebentar tadi.

‘Kejutan’ dimaklumkan Abdul Hadi itu turut melibatkan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang juga akan dipertaruhkan PN bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Ismail turut menjadi ‘mangsa’ antara nama besar yang digugurkan seperti diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak hadir ke majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Shahidan berkata, perlu bergegas pulang ke Perlis untuk mengisi borang pencalonan.

“Mereka minta saya datang ke sini, baru sampai, sekarang nak balik ke Perlis.

“Nak isi borang, watikah dah bagi tetapi borang tak isi lagi tetapi demi perjuangan, Insya-Allah kita akan tetap bersama,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Lima menteri digugurkan sebagai calon BN bagi PRU-15

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis turut menggunakan peluang itu untuk mengecam tindakan Ahmad Zahid yang didakwanya sebagai penipu.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid telah bertindak menukar namanya kepada Datuk Rozabil Abd Rahman walaupun ‘Top 5’ UMNO telah bersetuju menyenaraikannya.

“Presiden UMNO penipu, dia kata serah kepada Top 5, Top 5 pilih nama saya tetapi dia ubah nama.

“Lepas itu bila saya kata takkan bersama mereka, saya dikatakan khianati parti. Siapa khianati parti? dia atau saya? dia tak ikut keputusan Top 5,” jelas beliau.

BN mengumumkan Rozabil bagi menggantikan Shahidan di Arau manakala Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dipilih menggantikan Ismail.

Sementara itu, Abdul Hadi dan dua muka baharu ditampilkan sebagai calon PN Terengganu bagi menghadapi PRU-15.

Ia diumumkan Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

PN turut menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak sebagai calon Parlimen Kuala Nerus sebagai salah seorang muka baharu.

Pas turut menampilkan seorang calon muka baharu dengan mempertaruhkan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh untuk berentap di Parlimen Besut.

Selain kerusi Parlimen Marang, Kuala Nerus dan Besut, PN meletakkan calonnya di Setiu (Shaharizukirnain Abd Kadir), Kuala Terengganu (Datuk Ahmad Amzad Hashim), Dungun (Wan Hassan Mohd Ramli) dan Kemaman (Che Alias Hamid) manakala kerusi di Hulu Terengganu ditandingi calon BERSATU, Datuk Rosol Wahid.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lima penumpang cedera, LRT berhenti serta-merta berhampiran Stesen Dang Wangi

LIMA orang penumpang mengalami kecederaan selepas tren transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berhenti secara serta-merta ketika berada...

More Articles Like This