Tangkap layar rakaman kekecohan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Tenom. 

Kekecohan yang berlaku di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Tenom di Tenom hari ini berpunca daripada penolakan pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata penolakan pencalonan itu dilakukan Suruhanjaya  Pilihan Raya (SPR) dengan alasan Peter masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Beliau berkata tiada penahanan suspek kejadian dilakukan pihak polis setakat ini susulan kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi tadi di Dewan DSP Antanom di sini, dan keadaan kembali terkawal pada pukul 2.38 petang.

“Akibat tidak puas hati seramai 300 orang penyokong beliau (Peter) telah cuba merempuh masuk ke dewan (pusat penamaan)…pihak keselamatan telah bertindak menyuraikan penyokong daripada memasuki dewan.

Satu perbincangan dilakukan antara peguam mewakili Datuk Peter Anthony, pegawai SPR dan Polis Diraja Malaysia supaya penyokong tidak bertindak liar…pada 12.32 tengah hari Datuk Peter Anthony keluar dewan dan meminta penyokongnya menerima keputusan SPR,” katanya pada sidang media di Tenom hari ini.

Baca artikel : PDRM sahkan insiden kecoh di Pusat Penamaan Calon PRU-15 di Tenom – KPN

Idris berkata susulan itu, Peter telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Tenom di sini berikutan penolakan dirinya sebagai calon PRU15 di Parlimen Tenom, dan Peter akan mengambil tindakan susulan berhubung perkara tersebut.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang dan tidak beremosi dengan kejadian itu.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video kekecohan berlaku di luar pusat penamaan calon di dewan itu apabila penyokong parti itu merusuh sehingga memaksa anggota keselamatan melepaskan gas pemedih mata.

Hari ini Peter dilaporkan berkata akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Isnin ini berhubung pembatalan borang pencalonannya bagi kerusi Parlimen Tenom dalam PRU15.

— BERNAMA

Saturday , 05 November 2022

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram