HPBS 2022 Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

SAMBUTAN Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan telah diadakan, semalam, dan dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib.

Program ini anjuran bersama di antara Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) yang turut disokong oleh Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM).

HPBS diadakan bagi menghargai sumbangan pihak terlibat dalam perancangan dan pembangunan bandar serta desa.

Ini khususnya kepada Perancang Bandar dan Urban Manager di agensi kerajaan mahupun swasta serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

KPKT dalam kenyataan hari ini memberitahu, ‘Malaysia Berdaya Huni: Transformasi Bandar Masa Hadapan’ merupakan tema bagi sambutan kali ini.

Ia selaras dengan tema World Urban Forum 11 (WUF11) yang telah diadakan di Katowice, Poland Jun lalu.

Pemilihan tema ini menunjukkan Malaysia komited melaksanakan deklarasi WUF11, di mana persekitaran bandar dan tempat tinggal perlu beralih dari incremental shifts ke fundamental shift melalui transformasi bandar.

Pemilihan tema ini juga bertepatan dengan Agenda Malaysia Berdaya Huni yang digariskan oleh KPKT ke arah meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

“Berdaya huni ini merupakan teras kepada fungsi dan peranan KPKT sebagai sebuah kementerian yang berpaksikan rakyat.

“Sehubungan itu, KPKT telah menggariskan Enam Fokus Malaysia Berdaya Huni 2022 KPKT iaitu a. Memastikan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti; b. Mengarus perdana pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT); c. Memperkasa pembangunan komuniti bandar;

“D. Mempertingkat kesiapsagaan kebombaan dan penyelamatan; e. Mengutamakan kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan bandar hijau; dan f. Mentransformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran.

“Saya ingin menarik perhatian bahawa, banyak program dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan di peringkat kementerian adalah berkaitan dengan agenda menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya huni,” kata M Noor Azman ketika berucap dalam majlis tersebut.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, Dr Alias Rameli dan Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Datin Noraida Saludin.

Bersempena sambutan ini juga, Persidangan Perancangan Bandar Peringkat Kebangsaan (NPC) telah diadakan untuk menghimpunkan pihak terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan bandar serta desa.

NPC berperanan sebagai platform untuk berdiskusi tentang hala tuju perancangan di Malaysia bagi 50 tahun akan datang di peringkat Persekutuan, negeri, tempatan, pihak swasta dan pensyarah dari IPTA.

Dalam majlis sama, M Noor Azman menyampaikan 21 anugerah bagi Penghargaan Bandar Mampan kepada wakil PBT dan 19 Anugerah Kejiranan Hijau 2022 kepada peserta dari komuniti kejiranan.

Ia merupakan usaha KPKT melalui PLANMalaysia dalam menghargai sokongan komuniti kepada usaha pembangunan persekitaran kehidupan yang mampan dan inisiatif-inisiatif kejiranan hijau.

Pada tahun ini, sebanyak 127 penyertaan dari Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) di seluruh negara telah diterima bagi menyertai penilaian bandar mampan.

Manakala, sebanyak 94 penyertaan pula diterima daripada individu, komuniti dan PBT untuk Anugerah Kejiranan Hijau.

Tujuh kategori bagi Penghargaan Bandar Mampan ialah Kategori Bandaraya; Kategori Perbandaran; Kategori Daerah; Kategori Penghargaan Khas; Kategori Penghargaan SDG 11; Kategori Negeri Sabah dan Pusat Operasi MURNInets Negeri.

Sementara tujuh kategori bagi Anugerah Kejiranan Hijau ialah Kategori Komuniti Perumahan Bertanah; Kategori Komuniti Perumahan Bertingkat; Kategori Komuniti Perumahan Kampung; Kategori Individu; Kategori Institusi Awam; Kategori Pihak Berkuasa Tempatan dan Kategori Anugerah Khas KPKT.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram