Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DAKWAAN demi dakwaan yang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanyalah tohmahan dan taktik pembangkang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabtri Yaakob berkata, parti lawan kini tiada modal politik, justeru terpaksa mengitar tohmahan tersebut bagi mengelirukan pengundi walaupun tahu bahawa beliau satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan sebagai calon PM oleh UMNO dan BN.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tohmahan itu juga bertujuan memecahbelah kepimpinan UMNO dan BN tetapi akhirnya mendedahkan pembangkang ketandusan isu.

“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kalangan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepimpinan BN dan UMNO berpecah. Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka menggunakan. Hanya menggunakan isu PM ini,“ kata Ismail dalam temu bual eksklusif bersama FMT.

Beliau turut menyifatkan dakyah yang disebarkan itu sebagai cara tidak beretika untuk menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN.

“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan (kemungkinan) saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN. Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi (kepada) BN,” tambah beliau.

Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sebelum ini mendakwa Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail diumumkan sebagai “poster boy” BN dan calon PM PRU-15.

Pemimpin PH memberi amaran bahawa ‘satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Zahid menjadi perdana menteri’ manakala pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad, turut melontar dakwaan serupa.

BERITA BERKAITAN Anwar terlepas lagi, Zahid bakal Perdana Menteri ?

Ahmad Zahid tegas menafikan dakwaan itu namun ia terus diuar-uarkan pembangkang yang ghairah menjadikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sasaran utama dalam kempen mereka, kerana kes mahkamahnya berkaitan penyelewengan dana.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera kesal cubaan pembangkang menidakkan keputusan di pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon perdana menteri.

“Keputusan untuk mencalonkan saya sebagai perdana menteri oleh BN telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO, biro politik UMNO, dan perhimpunan agung UMNO. Malah, disambut oleh parti-parti komponen (BN),” katanya.

“Seluruh kepimpinan BN, termasuk Pengerusi Zahid, Mohamad Hasan (timbalan pengerusi), dan lain-lain, jelas kata saya satu-satunya calon perdana menteri (BN),” katanya.

Tanam keraguan

Ismail berkata pembangkang juga menggunakan isu calon PM dalam cubaan terdesak menanam keraguan dalam kalangan pengundi terhadap kemampuan BN mewujudkan kestabilan – mesej utama gabungan itu dalam kempen pilihan rayanya.

Katanya, sejarah menunjukkan PH dan PN tidak mampu menghasilkan kerajaan stabil.

Ismail menambah BN jelas dengan apa yang ia mahu lakukan untuk memperkasakan negara sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 Nov ini.

“Manifesto kita bukan sahaja menyentuh soal ekonomi tetapi transformasi institusi.”

Ismail menjadi perdana menteri pada Ogos 2021, dan memimpin kerajaan campuran yang disokong para wakil rakyat BN, Bersatu, PAS, GPS, GRS, dan parti kecil lain.

Pada PRU kali ini, beliau menghadapi saingan calon PH dan PN dalam mempertahankan Bera.

Pada PRU-14, dia mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PH dan PAS.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram