ENGGAN mengeruhkan lagi keadaan, pelakon Zul Huzaimy tampil memohon maaf ekoran sebuah rakaman video yang tular yang mendakwa dia terlalu ekstrim sehingga mahu bertindak menyembelih orang bukan Islam di Malaysia.

Menurut Zul atau Zul Huzaimy Marzuki,44, video terbabit sudah disunting oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan meminta orang ramai sebaiknya menonton dari awal hingga penghujung klip terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenyataan kontroversi: Polis siasat pelakon Zul Huzaimy, PRU-15: Zul Huzaimy tidak mewakili Pas, kata Sanusi

Kata Zul lagi, video yang disunting itu telah menyebabkan orang ramai tersalah faham dan ia sedikit sebanyak telah mencalar nama baiknya.

“Saya ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang mungkin salah anggap berkenaan dengan sebuah klip yang disunting oleh seseorang.

“Salah tu. Anda harus dengar ucapan saya yang penuh di mana saya mengatakan begini, kepada saudara-saudara ‘non muslim’ (bukan Islam), kita harus menjaga mereka kerana mereka ini menyokong pemerintahan negara kita sebagai negara Islam dan begitu baik.

“Wajib seorang pemimpin yang beragama Islam menjaga mereka. Itu yang pertama. Yang keduanya adalah yang saya sebut sebagai kafir harbi.

“Ini adalah musuh Islam yang nyata. Maksud saya di sini ialah ‘non muslim’ yang benci Islam, suka perkauman, buat hal sehinggakan tak benarkan azan di sesetengah tempat terlalu kuat,” katanya.

Zul berkata demikian menerusi hantaran video yang berdurasi tiga minit 22 saat di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Zul turut menerima sebuah video di mana ada sekumpulan pemain gendang di Pulau Pinang bergendang dengan kuatnya di depan sebuah masjid ketika sedang azan Isyak.

“Jadi benda-benda beginilah yang kita harus faham. Yang saya maksudkan, kaum-kaum “non muslim’ yang segelintir ini. Kena faham di situ.

“Saya bukanlah seorang yang terlalu ekstrim untuk suka bergaduh dengan orang. Tidak!

“Saya pun bersahabat dengan kawan-kawan kaum India, Cina dan Sikh. Sedankan arwah ibu saudara saya pun kaum Cina beragama Islam.

“Kawan saya Adam Corie (pelakon) juga kaum Cina beragama Islam. Yang saya maksudkan bila mana ada sesetengah pihak yang cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam ini. Agama rasmi Malaysia. Itu maksud saya,” jelasnya.

Zu; berharap perkara yang diperkatakannya itu tidak disensasikan sebagai ‘hate speech’.

“Ini yang saya nak nyatakan di sini. Saya bukanlah buat ‘hate speech’ di mana suka nak timbulkan isu perkauman, nak minta orang bergaduh antara agama…tidak.

“Yang kita nak adalah sama-sama menghormati. Anda agama anda, saya agama saya. Hidup di Malaysia ini saling bekerjasama dan akhirnya kita akan bahagia dan aman.

“Yang tak aman, bila ada yang terlalu ekstrim ini. Saya pun tidak menyokong kumpulan-kumpulan Islam yang ekstrim. Nak membunuh sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang negara,” katanya.

Zul berharap orang ramai tidak lagi salah faham hingga menganggap dia sengaja mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Sekali lagi saya mohon kepada netizen yang salah faham dapat menerima keterangan saya dengan jelas dan akhirnya semua rakyat Malaysia hidup dengan aman,” ujarnya.

Terdahulu, tular rakaman video ceramah pelakon itu di atas pentas di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu yang dikaitkan dengan Pas yang didakwa mengandungi kenyataan ‘panas’ berbaur perkauman.