Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri beramah mesra dengan rakyat pada program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan.

MESKIPUN sekadar 14 bulan menggalas tugas sebagai Perdana Menteri namun perlu diakui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menyelesaikan banyak perkara di dalam tempoh tersebut.

Antara masalah paling kritikal berjaya diselesaikan adalah penularan wabak COVID-19, selain ketidaktentuan situasi ekonomi negara.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling menyifatkan, isu tempoh singkat Perdana Menteri tidak sewajarnya dimainkan kerana ia merupakan satu perkara yang remeh-temeh.

Bagaimanapun, beliau mengakui, sumbangan Ismail Sabri kepada negara lebih banyak berbanding Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan.

“Saya ingat itu patut tidak menjadi isu, walaupun singkat tetapi memang banyak dilakukannya dan kebanyakkan yang dilakukan itu sudah mula berhasil.

“Kalau kita lihat pencapaian Perdana Menteri lebih banyak, memang betul lebih banyak berbanding 22 bulan apa dibuat oleh Dr Mahathir dan PH.

“Lebih penting lagi, dia sudah berjaya mengawal penyakit COVID-19, sudah dapat membangun semula ekonomi dan ekonomi dalam perkiraan terbaharu sudah mencapai kadar pertumbuhan yang amat tinggi,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.

Baca artikel lain: PM paling singkat, Ismail Sabri tak layan cercaan pembangkang

Terdahulu, Ismail Sabri menyatakan, langsung tidak pernah ambil peduli terhadap cercaan yang dilemparkan pembangkang terhadapnya dengan dakwaan pemimpin paling singkat bergelar Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau menegaskan, apa yang penting adalah pencapaian kerajaan pimpinannya sepanjang tempoh 14 bulan lalu.

“Yang penting pengisian sewaktu tempoh tersebut.

“Tempoh masa pendek atau panjang itu tidak penting. Panjang tapi tidak melakukan apa-apa untuk kepentingan rakyat pun tidak ada makna,” katanya seperti dilapor FMT.

Prof Zainal turut melihat niat pembangkang memainkan isu ini adalah sebagai modal politik untuk memperlekeh kewibawaan Ismail Sabri sebagai ketua negara.

“Ismail Sabri sudah pun menggunakan segala kebolehannya untuk meyakinkan orang bahawa BN (Barisan Nasional) itu berjaya untuk memerintah dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram