Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim GAMBAR: Abd Razak Aid

SEGALA fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Pakatan Harapan (PH) disifatkan hanya dimainkan oleh golongan yang hilang pertimbangan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fitnah berhubung isu komunis, liberal dan LGBT itu dimainkan golongan yang ‘menunggang’ agama untuk berdusta.

Sehubungan itu, Anwar yang juga calon PH bagi kerusi Parlimen Tambun menganggap tugasnya adalah untuk mendekati pengundi dengan berinteraksi bagi memperbetulkan pandangan.

Jelas beliau, kenyataan seumpama itu dikeluarkan golongan terdesak yang tidak mempedulikan ajaran agama dan budaya Melayu.

“Budaya Melayu itu sebenarnya budaya yang terlalu kukuh dan diserapi prinsip akal serta akhlak Islam.

“Jadi, saya tentunya tidak senang (dengan fitnah) kerana ia tidak memberi imej baik.

“Jadi kita kena berdepan masalah ini dan saya agak keras menangkis dan menyerang kerana saya anggap ini bertentangan dengan kaedah dakwah ditekankan Islam,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Dakwaan fitnah, Anwar tuntut Sanusi mohon maaf, ganti rugi RM10 juta

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘Agenda Awani bertajuk PRU-15: Grand Finale Demi Malaysia’, hari ini.

Sementara itu, Anwar menyifatkan sentimen pengundi di Tambun dilihat berada pada tahap yang baik menjelang hari pengundian, Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden PKR tidak mahu memandang ringan kerana kawasan itu bukan kubu kuat PKR mahu pun PH.

Beliau juga mengakui sebagai seorang pemimpin Melayu, Anwar turut mengharapkan sokongan daripada pengundi Melayu.

“Saya menjenguk (ke Tambun) berulang kali walaupun tugas saya terpaksa ke seluruh negara dan saya lihat sentimen mereka baik.

“Ada mengatakan majoriti Melayu di situ besar (mungkin sukar menang) tetapi saya rasa mereka tersalah sasar kerana saya sebagai seorang pemimpin Melayu harus berdepan kenyataan dukungan majoriti Melayu itu penting.

“Tentunya kita juga mengharapkan sokongan bulat daripada pengundi Cina, India dan juga Orang Asli,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram