AWAL pagi tadi, dunia dikejutkan dengan serangan sebuah roket didakwa buatan Rusia di perkampungan Przewodow, Poland yang terletak berdekatan sempadan Ukraine.
Serangan tersebut dilaporkan telah mengorbankan dua nyawa.
Letusan itu memberi impak segera kepada kedudukan ekonomi bahkan pasaran saham turut merasai kesannya.
Indeks saham Nikkei Jepun dilaporkan susut 0.1 peratus manakala saham Australia turut menurun 0.4 peratus
Krisis antara Rusia dan Ukraine telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dengan ia memberi ancaman bukan sahaja dari segi hubungan dua hala tetapi mengakibatkan kemelesetan ekonomi dunia.
Situasi tersebut telah menyebabkan kegawatan global dengan kadar inflasi mencanak naik.
Malah, ketidaktentuan itu telah menyebabkan Bank Dunia memberi amaran bahawa tahun 2023 sebagai tahun ‘gelap’ dengan ekonomi bakal mengalami kemerosotan.
Kebimbangan itu turut disuarakan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang dilaporkan berkata 66 negara dunia akan runtuh disebabkan kedudukan buruk ekonomi
Malaysia turut terkena tempias akibat krisis berterusan Rusia dan Ukraine serta pandemik COVID-19 yang masih tidak menemui titik noktah menjadi punca kepada kemelut itu. Serangan ke atas Poland bakal meningkatkan lagi tahap ketidaktentuan kepada ekonomi dunia.
Peningkatan ketidaktentuan ini terjadi di persimpangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Malaysia amat memerlukan kerajaan atau kepemimpinan yang mempunyai ketokohan mengharungi badai bakal menjelang tiba.
Kemelut ekonomi yang mungkin dihadapi tahun hadapan memerlukan kerajaan yang teguh dan mempunyai dasar serta visi jelas mengharunginya.
Dua tahun kebelakangan ini, Malaysia telah berjaya pulih dan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.
Antara individu yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan itu adalah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Kewangan dan Khairy Jamaluddin yang pada mulanya merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menggepalai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan kemudiannya sebagai Menteri Kesihatan.
Dalam tempoh mencabar itu, jawatan kedua-dua kementerian ini memerlukan individu yang faham bukan sahaja keperluan negara dan juga kebajikan rakyat, tetapi juga mempunyai track record yang baik dalam mengendalikan portfolio masing-masing.
Tengku Zafrul dilantik menjadi Menteri Kewangan pada saat sukar ketika krisis berkembar ekonomi dan kesihatan ekoran penularan COVID-19, namun ekonomi negara tetap mampu pulih dan berkembang.

Baca artikel berkaitan: Betulkan niat PRU-15 untuk rakyat, Tengku Zafrul tak ambil peduli fitnah lawan
Kementerian Kewangan, di bawah Tengku Zafrul juga telah menjadi peneraju dan membangunkan konsep berfasa bagi Pelan Pemulihan Negara.
Kementerian Kesihatan, diterajui Khairy pula mampu mengawal isu kesihatan awam dengan baik sehingga kesemua sektor-sektor sosioekonomi Malaysia dibuka semula.
Ruang fiskal yang sempit perlu direncana sebaik mungkin supaya ekonomi negara terus berkembang dengan baik.
Walaupun berat, namun segala perancangan berhubung dasar kerajaan memerlukan seorang Menteri Kewangan yang bijak dan faham untuk mengimbangi kebajikan rakyat serta kedudukan negara.
Penganalisis kewangan, Prof Madya Dr Baharom Abdul Hamid membayangkan Malaysia mungkin terselamat daripada kemelesetan ekonomi yang lebih teruk.
Kata beliau, ia disebabkan dasar kerajaan sebelum ini yang memberi kesan langsung kepada ekonomi.
“Kita kena ingat pertumbuhan ekonomi Malaysia dipacu oleh permintaan domestik dan perkara itu perlu diberi tumpuan.
“Bagaimanapun, indikator-indikator ketika ini menunjukkan Malaysia mungkin terselamat (kemelesetan ekonomi) kerana pertumbuhan yang baik dan pengangguran yang rendah,” katanya.

Pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga menjadi bukti bahawa dasar kerajaan sewaktu krisis COVID-19 telah membuahkan hasil.
Lebih setahun menerajui Kementerian Kesihatan, Khairy telah banyak melakukan perubahan drastik bagi memastikan isu kesihatan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
Daripada mentransformasikan MySejahtera sebagai sebuah aplikasi kesihatan awam sehinggalah penawaran terbesar jawatan tetap bagi doktor kontrak, Khairy sentiasa komited berkhidmat untuk rakyat.
Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan menerusi kepimpinan Khairy turut berjaya menyelesaikan kes-kes tertunggak di fasiliti kesihatan disebabkan oleh pandemik COVID-19 dengan 92 peratus kes tertunggak pada September 2021 berjaya diselesaikan.
Kedua-dua calon ini mempunyai track record yang baik dan berpotensi besar untuk memimpin serta mempertahankan ekonomi dan kesihatan awam ke arah pemulihan negara seterusnya.
Pelbagai inisiatif yang telah dirangka tentunya menjurus ke arah kedudukan ekonomi terus berada di landasan kukuh dan stabil walaupun diancam ketidakstabilan ekonomi global.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

