Mendiang M Karupaiya turut hadir dalam ceramah bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kulim, Isnin lalu.

PEMERGIAN calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai, M Karupaiya secara mengejut hari ini disifatkan kehilangan besar kepada parti dan perjuangan reformasi.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mendiang Karupaiya merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Menurut Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR, jasa mendiang sebagai penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dan juga pesara tentera akan sentiasa dikenang.

Beliau berkata, kali terakhir bertemu Karupaiya adalah pada Isnin lalu di atas pentas ceramah di Kulim dengan mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dengan rasa penuh hiba dan dukacita, saya memaklumkan bahawa M Karupaiya, bekas ahli Parlimen Padang Serai merangkap calon PH bagi Padang Serai telah meninggal dunia hari ini.

“Mewakili seluruh keluarga besar PKR dan PH, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Calon PH Parlimen Padang Serai, M Karupaiya meninggal dunia

“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik.

“Semangat ini akan diteruskan oleh pejuang PKR dan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Karupaiya dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.27 petang tadi di Hospital Kulim.

Bagaimanapun, punca kematian mendiang masih belum disahkan.

Mendiang Karupaiya yang merupakan ahli PKR memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Leong Yong Kong dan calon Pas, Muhammad Sobri Osman dengan majoriti 8,813 undi.

Karupaiya dijadual berhadapan pertembungan enam penjuru di kerusi tersebut pada PRU-15 kali ini apabila dicabar calon BN, C Sivarraajh, Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional, Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Sreanandha Rao.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram