PENYANYI popular Khai Bahar berkongsi akan mengundi di Bangi, Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas dia sudah mengemaskini alamat rumah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Justeru, Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin,28, tidak perlu lagi pulang ke kampung halamannya di Perlis untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
Ujar penyanyi Oh Wanita itu, dia menukar alamat kediaman terkini kerana mahu memudahkan urusan setiap kali tiba hari PRU untuk masa akan datang.
“Saya dah empat kali mengundi. Untuk kali ini, saya akan mengundi di kawasan perumahan saya iaitu di Bangi, Selangor.
“Jadi, selepas ini saya tak perlu lagi pulang ke Perlis untuk mengundi. Sebenarnya, saya nak memudahkan proses pengundian sebab itulah saya buat keputusan untuk menukar alamat,” katanya ketika ditemui URTV, baru-baru ini.
Berkongsi keterujaanya untuk keluar mengundi, kata Khai, siapa pun yang terpilih pada 19 November ini, diharap dapat menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat.
“Saya memang teruja nak pergi mengundi sebab ia berlaku lima tahun sekali kan. Saya harap, Malaysia terus dipimpin oleh mereka yang layak untuk negara ini berkembang maju dan rakyat hidup aman serta makmur.
“Sebaiknya, mereka yang terpilih itu nanti, saya harap mereka jalankan tanggungjawab dengan penuh integriti,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan pengiat seni dalam bidang politik, Khai menganggap ia adalah pilihan dan hak masing-masing.
“Saya suka untuk melihat perkara ini dari sudut positif. Kalau mereka yakin ada pengikut nak mengundi, teruskan dengan pendirian mereka. Tiada apa pun yang salah.
“Artis terjun ke bidang politik bukanlah satu hal yang janggal. Kalau di Indonesia, ada beberapa selebriti terkenal yang menceburi bidang politik. Bagi saya, ia bersifat terbuka,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

