Pengerusi Barisan Nasioanl, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

‘AYAM menang kampung tergadai’. Maksud pepatah ini, untung yang tidak ada faedah. Barangkali inilah nasib yang menimpa Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walau pun berjaya mempertahan kerusi parlimen Bagan Datuk yang disandang sejak lima penggal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin, Zahid gagal membawa UMNO dan BN menempa kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Sebaliknya sejarah PRU-14 berulang.

Calon UMNO dan parti komponen BN tewas di banyak kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi. Perlis terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN). Di Perak dan Pahang, BN gagal memperoleh majoriti membentuk kerajaan negeri.

Malah majoriti kemenangan Zahid di Bagan Datuk sangat tipis, hanya 348 undi.

Beliau memperoleh 16,578 undi berbanding Shamsul Skandar Iskandar yang memperoleh 16,230 undi. Dalam sejarah memenangi kerusi Bagan Datuk sejak 1995, inilah majoriti paling tipis diperoleh Zahid.

UMNO juga hilang kerusi DUN Hutan Melintang, salah satu kerusi dalam perlimen Bagan Datuk. Calon Pakatan Harapan (PH), Wasanthee A/P Sinnasamy berjaya merampas kembali kerusi itu daripada BN, menewaskan penyandang, Datuk Khairuddin Tarmizi dengan majoriti 1,130 undi.

BERITA BERKAITAN Zahid nafi setuju gabung dengan PN, akan singkir siapa yang melawan

Wasanthee memperoleh 11,924 sementara Khairuddin 10,794 undi. Pada PRU-12 dan PRU-13, kerusi tersebut dipegang oleh wakil PH.

BN bagaimanapun berjaya mempertahan kerusi DUN Rungkup apabila calonnya, Datuk Shahrul Zaman Yahya, memperoleh 7,023 undi menewaskan calon PH, Munzirie Kabir yang memperoleh 3,614. Majoriti 3,409 undi. Ini mengekalkan rekod kerusi ini tidak pernah terlepas kepada parti lain.

Berapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Betapa sedih dan kecewanya ahli UMNO dan komponen BN dengan prestasi buruk PRU-15, tentulah kesedihan dan kekecewaan lebih dirasai oleh Zahid, selaku ‘kapten’.

Beliau optimis membawa kembali parti ke landasan kemenangan setelah kejutan tewas pada PRU-14. Kerana itu desakan demi desakan sering beliau buat agar parlimen dibubar segera bagi memberi laluan kepada PRU-15, sekali pun tempuh tamat parlimen hanya pada Mei tahun hadapan.

Ini dirangsang oleh kemenangan besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Kemenangan tersebut dianggap sebagai petanda sokongan rakyat terhadap BN sudah kembali dan mampu memenangi PRU-15. Kerana itu peluang mesti segera diambil agar momentum sokongan tidak terbantut.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat juga pernah menyatakan kemenangan di Melaka dan Johor adalah ibarat besi panas. Kerana itu jangan tunggu sehingga besi sejuk baru bertindak.

Akhirnya parlimen dibubar pada 10 Oktober. PRU diadakan dalam suasana hujan dan di beberapa kawasan banjir. Meskipun diberi ingatan bahawa PRN tidak boleh disamakan dengan PRU, UMNO tetap ghairah mahu ia diadakan. Keputusan PRU-15 menjadi saksi keghairahan membawa padah apabila BN hanya menang 30 kerusi.

Realiti yang pahit ditelan ialah UMNO dan BN semakin tersisih daripada rakyat, terutama golongan muda. Inilah yang perlu diterima oleh Zahid dan pemimpin UMNO.

Ramai melihat UMNO sebagai tidak berubah sejak kalah pada PRU tahun 2018. Masih wujud puak-puak dalam parti. Ada yang melahirkan rasa tidak senang hati kepada pucuk pimpinan secara terbuka. Ramai pula yang hanya memendam di dalam hati.

Sepatutnya teguran dijadikan panduan memperbaiki diri agar parti lebih progresif. Sebaliknya yang bersuara lantang dihukum. Beberapa orang yang dianggap calon boleh menang digugurkan daripada PRU-15, atau dihantar ke kawasan tidak selamat dan akhirnya tewas.

Selain faktor kekuatan parti lawan, wujud andaian banyak undi daripada kalangan UMNO sendiri beralih kepada parti lawan sebagai tanda protes.

Penyandang kerusia parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang tidak berpuas hati disingkir sebagai calon, bertekad bertanding sebagai calon Perikatan Nasional di Arau. UMNO tersilap hitung pengaruh beliau.

Shahidan menang dengan majoriti besar sebanyak 23,216 undi, memperoleh 31,458 undi, menewaskan Datuk Rozabil Rahman yang memperoleh 8,242 undi.

Bukan itu sahaja, pengaruh Shahidan membolehkan PN menang kerusi parlimen Kangar dan Padang Besar. Tidak cukup dengan itu, PN dberjaya menawan Perlis daripada BN buat kali pertama dalam sejarah dengan memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN.

UMNO kini di landasan sukar. Desakan supaya Zahid berundur mula nyaring, antaranya daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Juga oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang digugur daripada mempertahan kerusi parlimen Tanjung Karang, serta Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Kedua-dua mereka telah meletakkan jawatan dan mahu Zahid juga meletak jawatan sebagai mengambil tanggung jawab di atas prestasi buruk UMNO. Isyarat sudah diberi. Tepuk dada tanya selera!

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram