Sebahagian daripada pengamal media menanti ketibaan pemimpin dari parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di St Regis Hotel, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mengadakan perjumpaan di Hotel St Regis, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang ini.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara tersebut disahkan satu sumber terdekat UMNO.

Menurut sumber berkenaan, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai perjumpaan tersebut bagi pihak BN.

“Ada perjumpaan antara BN dan PN di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

“Tok Mat (Mohamad) mengetuai BN. Selain itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Datuk Seri M Saravanan dan Datuk Arthur Joseph Kurup juga akan menghadiri perjumpaan ini,” katanya.

Sumber tersebut memaklumkan, perbincangan hari ini diadakan hasil persetujuan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.

Bagaimanapun, sumber itu mengesahkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menyertai perjumpaan berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Tiga pemimpin kanan BN selesai menghadap, Anwar kata keluar tengok wayang

Difahamkan, pertemuan itu bagi mendengar cadangan pemimpin PN berhubung pembentukan kerajaan.

Sebelum ini, BN mengadakan perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, Isnin lalu.

Sementara itu, memetik laporan The Star Online, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut tiba di Hotel St Regis bagi menghadiri perbincangan khas tersebut.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO tiba pada pukul 2.57 petang.

Ketika ditanya tujuan mesyuarat tersebut, beliau hanya menjawab ringkas, “Saya tidak tahu lagi,” katanya.

Kenderaan membawa Mohamad kemudian dilihat tiba pada pukul 3.04 petang manakala Setiausaha Agung PN, Datuk Seri hamzah Zainuddin pula memasuki perkarangan Hotel St Regis pada pukul 3.15 petang.

Terdahulu, tiga pemimpin kanan BN iaitu Ahmad Zahid, Mohamad dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menghadap Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi.

Kesemua mereka kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pemimpin BN yang memasuki Istana Negara pada jam 10.45 pagi dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 11.25 pagi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah turut menitahkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung esok.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram