Sebahagian daripada pengamal media menanti ketibaan pemimpin dari parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di St Regis Hotel, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERTEMUAN pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di sebuah hotel di ibu negara dipercayai berkaitan kebuntuan pembentukan kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berakhir kira-kira dua jam.

Antara pemimpin BN yang hadir ialah Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup.

Pemimpin PN yang hadir termasuk Pengerusinya merangkap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee serta Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin terbabit dan mereka juga enggan bertemu media selain bertindak meninggalkan hotel menggunakan pintu yang tidak boleh diakses orang awam.

Kebuntuan berhubung pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlarutan selepas PRU15 berakhirnya pada 19 Nov lepas apabila tiada parti atau gabungan politik yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PN (73), Pakatan Harapan (82), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram