Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR IHSAN: Pejabat Perdana Menteri

ANGGOTA Kabinet yang bakal dilantik tidak lama lagi, diingatkan supaya tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu, terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, anggota Kabinetnya juga diingatkan supaya tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang mengumumkan tidak akan mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri, antara lain menasihati bakal anggota Kabinet supaya sentiasa berjimat dengan lebihan peruntukan itu perlu dipulangkan kepada golongan susah.

“Kalau boleh jimat, sama ada RM100, RM1,000 atau RM10,000, ia boleh dipulangkan kepada golongan susah.

“Amalan dari dulu, apabila setiap menteri berpindah atau ditukarkan akan guna RM300,000 hingga RM500,000 untuk baik pulih pejabat, termasuk membeli kerusi dan meja cantik.

“Saya sendiri sudah pulangkan kereta dengan nombor pendaftaran BEM1 yang digunakan sebelum ini, selain akan gunakan kereta sedia ada sahaja dan syaratnya tidak ada pembelian baharu daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“Ini termasuk juga laporan mengenai kerosakan karpet di PMO. Saya sudah arahkan supaya ia dibaiki dan disyaratkan supaya tiada pembelian baharu. Ini adalah mesej kepada pimpinan kementerian dan jabatan lain supaya ingat bahawa dalam keadaan sekarang kita patut mulakan budaya baharu,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sidang media Majlis Solat Hajat, Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ashabus Solihin dekat Kajang, malam ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan supaya mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 diadakan bagi membincangkan isu lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat, pagi esok.

Katanya, mesyuarat itu perlu diadakan segera berikutan terdapat keperluan mendesak berhubung isu berkenaan dengan ia dijangka mampu menyenaraikan beberapa pelan tindakan segera dan jangka panjang bagi mengatasi masalah terbabit.

“Esok, kita khusus untuk dengar laporan dan langkah (mengatasi isu kos sara hidup) tetapi saya lebih mahu dengar tindakan yang boleh meleraikan masalah ini dengan sebahagiannya dalam kadar segera mahupun panjang.

“Saya sudah panggil dan pegawai sedia hadir (mesyuarat) biarpun esok adalah Ahad. Kos sara hidup ini terlalu menekan dan saya tak mahu tangguh. Insya-Allah kita akan mengambil beberapa tindakan segera sekadar yang kita mampu bagi mengatasi isu ini.

“Saya juga syukur dan berterima kasih kepada pedagang kerana menyediakan (bekalan) telur dan minyak masak mencukupi, ini sekurang-kurangnya langkah awal yang boleh meringankan beban rakyat,” katanya.