Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejayaan treble buat julung kalinya selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022 dengan menewaskan Selangor FC 2-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejayaan treble buat julung kalinya selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022 dengan menewaskan Selangor FC 2-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Gelaran juara Piala Malaysia ketiga diraih JDT sejak penubuhannya pada 2013 menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menyapu bersih trofi yang dipertandingkan tahun ini, susulan pencapaian memenangi saingan Piala FA dan Liga Super, selain meraih Piala Sumbangsih sebelum musim ini bermula.

Pada aksi di hadapan kira-kira 80,000 penyokong kedua-dua pasukan yang membentuk lautan merah-biru dan merah-kuning itu, dua gol penting skuad bimbingan Hector Bidoglio masing-masing dijaringkan gandingan penyerang import Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Dua jaringan tersebut sudah cukup untuk menafikan jaringan pembukaan Selangor menerusi sepakan penalti disempurnakan Herlison Caion De Souza Ferreira selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menampilkan persembahan terpuji pada 45 minit pertama perlawanan.

Skuad Gergasi Merah yang beraksi di final Piala Malaysia pertama sejak 2016 jelas mendominasi babak pertama dengan beberapa siri serangan berbahaya manakala JDT bergelut mencari rentak permainan apabila Selangor berjaya mematahkan hantaran pendek mereka di kawasan tengah.

Selangor ternyata bermula dengan cemerlang dan hampir mendahului seawal minit kedua tetapi gerakan serangan balas pantas pasukan gagal disudahkan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Mereka kemudian terlepas peluang keemasan merobek gawang JDT selepas Caion yang bijak melepasi perangkap ofsaid gagal merembat kemas bola dalam situasi satu lawan satu berdepan Mohd Farizal Marlias pada minit ke-10.

Selangor sekali lagi tampil dengan serangan berbahaya lapan minit kemudian, kali ini menerusi larian pantas Hein Htet Aung ke dalam kotak penalti, namun rembatan pemain import dari Myanmar itu berjaya dihalang pertahanan Muhamad Feroz Baharudin.

Akhirnya Selangor berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Caion pada minit ke-45 selepas Matthew Davies menjatuhkan penyerang import dari Brazil itu dalam kawasan berbahaya, namun JDT pantas menyamakan kedudukan hasil tandukan Bergson pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT tampil berbeza dan lebih tersusun untuk menguasai permainan, menyaksikan barisan pemain Selangor terpaksa bekerja keras untuk mengekang setiap serangan berbahaya pasukan lawan.

Bagaimanapun, JDT berjaya meledak jaringan kemenangan pada minit ke-59 dengan Forestieri muncul wira pasukan selepas memanfaatkan bola muntah tampanan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dengan melepaskan rembatan lencong dari dalam kotak penalti untuk gol kedua.

Selangor yang tertekan membawa masuk dua penyerang gantian iaitu Ahmad Danial Ahmad Asri dan Muhamad Syahir Bashah dalam misi memburu gol penyamaan, namun disiplin bertahan dipamerkan JDT pada babak kedua berjaya menyukarkan gerakan pihak lawan.

Di penghujung perlawanan, percubaan berbahaya Ahmad Danial dari jarak dekat berjaya diselamatkan Mohd Farizal sementara Bergson terlepas peluang mencetak jaringan kedua peribadinya apabila rembatan padu dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar Mohd Khairulazhan.

Kejayaan malam ini menyaksikan JDT berjaya mengulangi pencapaian memenangi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019 sekali gus mengubati kekecewaan tewas di pentas final musim lepas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

Sementara itu, Selangor terus kempunan merangkul sebarang gelaran juara dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015. – BERNAMA