Elak campur tangan politik, surat Alumni PTD kepada Perdana Menteri

Dari Penulis

PEMBENTUKAN kerajaan baharu membawa 1,001 harapan kepada ramai pihak antaranya Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) yang mahu tiada campur tangan politik dalam proses pelantikan di perkhidmatan awam. Berikut adalah surat terbuka mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim,

Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) ingin menyampaikan ucapan tahniah yang ikhlas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Bersempena dengan penubuhan kerajaan baharu, Alumni PTD, ingin mengambil peluang ini untuk menarik perhatian pihak pentadbiran baharu kepada beberapa isu yang, secara langsung, memberi kesan kepada kecekapan dan keberkesanan Perkhidmatan Awam. Isu-isu ini harus ditangani segera bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi yang penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan memenuhi keperluan serta aspirasi rakyat.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, Alumni PTD adalah sebuah persatuan bekas pegawai-pegawai PTD yang berpengalaman dan ramai di antara mereka pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam Perkhidmatan Awam, di sektor-sektor dalam dan luar negara. Ahli-ahli Alumni PTD telah memberi sumbangan yang besar terhadap usaha-usaha pembangunan sosioekonomi negara selama berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam. Oleh itu, kami amat percaya bahawa, untuk berjaya menguruskan proses pemuliharaan ekonomi, antara tindakan-tindakan yang perlu diambil adalah:

a. Pihak Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam hendaklah bekerjasama untuk menangani isu-isu yang menjadi kebimbangan rakyat yang termasuk peningkatan kos sara hidup, kekurangan peluang-peluang pekerjaan, hutang negara yang semakin meningkat, dan keperluan untuk menambah hasil pendapatan untuk menampung perbelanjaan mengurus;

b. Pihak Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam hendaklah lebih serius terhadap keperluan penjimatan; dan

c. Penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam harus kekal sebagai satu usaha keutamaan.

Semua langkah ini memerlukan tahap profesionalisme dan integriti yang lebih tinggi di kalangan anggota Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam, yang mana kedua-duanya adalah penting dan amat diperlukan untuk memperolehi semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, kami juga berpandangan bahawa, untuk Perkhidmatan Awam menjadi cekap dan berkesan dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, adalah penting dipastikan ianya mempunyai kapasiti, keupayaan dan keyakinan untuk berkhidmat dengan baik bagi Kerajaan semasa. Tidak kurang pentingnya bagi anggota-anggota Perkhidmatan Awam diberi keyakinan bahawa mereka dipercayai dan disokong oleh pihak pentadbiran dalam menjalankan tugas dan tanggungjawap mereka secara profesional dan berintegriti. Untuk tujuan ini:

a. Pihak Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam harus berusaha seiring untuk memperkukuhkan amalan tadbir urus yang baik melalui kajian semula Perintah Am, Arahan Kewangan dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan berdasarkan semangat Bersih, Cekap dan Amanah;

b. Setiap anggota Perkhidmatan Awam hendaklah mengangkat Sumpah Perkhidmatan sebagai bukti komitmen mereka terhadap tadbir urus yang baik dan berintegriti dalam memberi khidmat kepada negara; dan

c. Perlu adanya komitmen yang menyeluruh di pihak Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam untuk memerangi rasuah, satu kebimbangan serius di kalangan rakyat.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, adalah amat penting untuk mengelakkan sebarang campur tangan politik dalam proses pelantikan Perkhidmatan Awam serta dalam pengurusan pentadbiran dan kewangan, terutamanya dalam urusan pemberian kontrak. Penemuan-penemuan audit menunjukkan ketirisan yang berterusan dan kerugian besar yang ditanggung oleh Kerajaan disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi kewangan yang standard akibat gangguan tersebut. Dalam hal ini, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan hendaklah dibenarkan untuk menguruskan fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai Pegawai Pengawal sewajarnya mengikut peraturan dan prosedur serta tanpa rasa takut atau pilih kasih. Sehubungan itu, adalah mustahak Kerajaan menggubal Akta Perkhidmatan Awam, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, untuk mewujudkan Perkhidmatan Awam yang profesional dengan persempadanan fungsi, bidang kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara pihak Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam.

Alumni PTD juga ingin menggesa kerajaan untuk melaksanakan kajian semula institusi dan organisasi yang menyeluruh terhadap Perkhidmatan Awam, memandangkan perubahan teknologi yang pesat, revolusi digital dan megatrend global. Tambahan lagi, terdapat juga keperluan untuk mengkaji semula pakej imbuhan dan emolumen bagi anggota-anggota Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam supaya dapat dipastikan ianya setara dengan pekerjaan, kelayakan dan prestasi yang berkaitan dan, pada masa yang sama, adalah dimampukan.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, pada kesimpulannya, Alumni PTD ingin menegaskan bahawa negara memerlukan satu pasukan yang kuat terdiri daripada anggota-anggota Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam. Pasukan ini hendaklah cekap, berkesan, profesional dan berdaya tahan serta berintegriti dan mempunyai nilai moral yang tinggi. Pasukan inilah yang akan membolehkan kita memenuhi objektif asas usaha-usaha pembangunan negara yang bertujuan untuk memperbaikki kualiti hidup rakyat.

Tan Sri Abdul Halim Ali
Presiden Alumni PTD

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan lanjut perjanjian cari MH370 setahun lagi, kekal konsep ‘no find, no fee’

JEMAAH Menteri bersetuju melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia...

More Articles Like This