BIARPUN tubuh badannya sudah kurus dan langsing, namun pelakon Atikah Suhaime akan terus mengamalkan pemakanan sihat yang betul demi kesihatan.
Malah, menurut Atikah,31, dia menjadikan amalan diet yang diajar oleh ‘personal trainer’ sebagai ‘content’ di media sosial terutamanya di TikTok.
“Sejujurnya saya hanya nak kongsi ilmu pemakanan yang sihat dengan cara yang betul kepada semua orang.
“Saya sendiri mengupah ‘personal trainer’ untuk memastikan makanan diet yang manakah sesuai untuk saya.
“Saya berkongsi di TikTok sebagai ‘content’ sebab saya tak pandai menari. Jadi, apa yang ‘trainer’ saya ajar, saya akan kongsikan kepada pengikut di media sosial.
“Apa yang saya buat itu saya harap semua orang dapat manfaat daripada ilmu yang saya ada untuk proses berdiet,” katanya kepada URTV.
Atikah berkata demikian pada sidang media drama Aku Seorang Perempuan yang diadakan secara virtual, baru-baru ini.
Tambah Atikah, menyedari ramai golongan muda yang mudah jatuh sakit, ia sedikit sebanyak menjentik hatinya untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.
“Ada yang tanya saya kenapa nak diet sedangkan saya sudah kurus? Sebenarnya diet yang saya amalkan ini lebih kepada nak hidup sihat.
“Saya diet untuk kesihatan bukan untuk kurus. Lagipun saya tengok sekarang ini muda-muda pun dah sakit. Jadi, kita kenalah berhati-hati,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

