BARISAN Nasional (BN) Pahang hanya menawarkan satu jawatan Exco kepada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika ingin menyertai kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Timbalan Presiden PAS , Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya Pengerusi Barisan Nasional Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar sebelum DUN dibubarkan menawarkan dua kerusi Exco kepada Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan terakhir bersama Wan Rosdy yang turut disertai Yang di-Pertuan Agong bersama dengan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Dan saya telah (nyatakan) kepada Tuanku bahawa kami menolaklah, sebab kita ada 17 (kerusi DUN). PH ada lapan diberi dua (jawatan) Exco. Jadi, saya rasa ini sangat tidak adil dan kita buat keputusan kekal sebagai pembangkang negeri Pahang,” katanya dalam artikel yang diterbitkan di portal Harakahdaily hari ini.
Pada PRU-15, daripada 41 kerusi DUN Pahang yanhg dipertandingkan, PN memperoleh kemenangan di 17 kerusi, BN memperoleh 16 kerusi dan PH memperoleh lapan kerusi yang menyebabkan tiada pihak mendapat majoriti dan seterusnya DUN tergantung.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Wan Rosdy untuk mengadakan perbincangan dengan matlamat pembentukan kerajaan negeri dengan gabungan daripada dua parti yang mencatat kemenangan besar iaitu PN dan BN.
Katanya, PN sedia menawarkan kepadanya jawatan menteri penuh (dilantik sebagai senator) sekiranya PN menguasai kerajaan persekutuan di samping bersetuju juga jika beliau ingin kekal sebagai Menteri Besar Pahang.
BERITA BERKAITAN Pembentukan kerajaan negeri bersama PH demi kestabilan – MB Pahang
“Walaupun dia (BN hanya menang) 16 kerusi, PN 17 kerusi, tapi kita consider (pertimbang) untuk jalan penyelesaian bahawa kita pembentukan Kabinet ataupun EXCO Negeri Pahang terdiri daripada 50-50, 50 daripada PN dan 50 daripada BN.
“Manakala jawatan lain seperti Speaker. Oleh kerana beliau Menteri Besar, kita cadangkan supaya (jawatan speaker diberikan) kepada PN. Timbalan Speaker daripada BN. Menteri Besar daripada BN.
“Timbalan Menteri Besar ataupun Timbalan kepada Menteri Besar daripada PN. Manakala, Exco lima daripada BN dan lima daripada PN. Dan pelantikan, ada lima lantikan ADUN. Ya. Kita buat oleh kerana beliau pegang Menteri Besar, kita cadangkan PN dapat tiga kerusi dan BN dua kerusi,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau berkata, pengagihan tersebut dianggap adil kerana kedudukan kedua-dua pihak hampir seimbang dengan masing-masing memiliki 16 dan 17 kerusi.
“Tetapi oleh kerana kita ada offer (tawaran) baru dan beliau maklum pada kami bahawa PH juga menghubungi beliau dan menawarkan dia sebagai Menteri Besar.
“Saya bawa isu ini kepada pimpinan parti dan saya mengadakan pertemuan kedua menyatakan bahawa kita bersedia, kompromi kepada dengan beliau untuk kita bentukkan sebuah kerajaan di mana dia menerajui kerajaan dengan cooperation (kerjasama) tersebut,” tambahnya..
Bagimanapun, beliau dimaklumkan mesyuarat Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Pahang memutuskan bahawa BN kekal bersama dengan PH.
Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Raja Pahang meminta supaya ketiga-tiga pihak berbincang mengenai kemungkinan membentuk kerajaan secara bersama.
“Tapi dalam pertemuan terakhir di Syahzan dengan Tuanku Agong bersama dengan Pemangku, Wan Rosdy memaklumkan kalaupun PN ingin bersama (kerajaan gabungan tiga komponen), dia hanya menawarkan satu kerusi Exco sahaja.
“Dan saya telah pada Tuanku bahawa kami menolaklah, sebab kita ada 17 ya. PH ada lapan diberi dua Exco. Jadi saya rasa ini sangat tidak adil dan kita buat keputusan bahawa kita kekal sebagai pembangkang negeri Pahang,” tambahnya.
Tuan Ibrahim berkata, penjelasan ini diberikan bertujuan menjawab kekeliruan yang ditimbulkan sesetengah pihak yang kononnya PAS menuntut tujuh kerusi Exco, danPN menuntut pelbagai perkara adalah tidak betul.
“Jadi dengan penjelasan ini saya yakin bahawa masyarakat mengetahui bagaimana proses perundingan tiga kali pertemuan dengan Menteri Besar bagaimana proses itu, tawaran-tawaran yang kita keluarkan untuk mewujudkan muafakat penyatuan ummah model negeri Pahang,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

