saifuddin
SAIFUDDIN ABDULLAH

DATUK Seri Saifuddin Abdullah mengingatkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar tidak memutar belit cerita berhubung kronologi pembentukan kerajaan negeri di Pahang.

Saifuddin turut menegaskan yang Wan Rosdy tidak menjelaskan fakta sebenar di sebalik proses rundingan di antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Pengerusi PN Pahang itu menjelaskan, rundingan di antara di Wan Rosdy yang mewakili BN dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PN melibatkan tiga pusingan.

“Pada pusingan pertama, semasa itu memang belum ada kerajaan di peringkat persekutuan. Hakikatnya ialah kami menyatakan kita tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH di Pahang.

“(Pusingan) Yang kedua ialah kita nak membentuk kerajaan negeri dengan BN.

“Ketiga, kami kata logiknya kamilah (PN) jadi menteri besar kerana kami ada kelebihan kerusi. 

“Selanjutnya kalau Wan Rosdy tak selesa menjadi exco biasa, Tuan Ibrahim kata, kita boleh fikirkan (alternatif) contohnya sekiranya kami membentuk kerajaan persekutuan boleh bawa dia (Wan Rosdy) ke pusat,” katanya.

Baca lagi: BN tamak, ketepi mandat rakyat di Pahang – Saifuddin

Kata bekas menteri luar itu lagi, tindakan yang diambil PN itu menunjukkan mereka benar-benar bertolak ansur asalkan bukan PH yang membentuk kerajaan negeri di Pahang.

“Jadi Wan Rosdy jangan putar belit cerita. Ceritanya betapa kami bertolak-ansur dengan BN… itu cerita yang sebenar,” katanya pada sidang media selepas program kempen PN di Taman Mahsuri, Padang Serai, malam tadi, lapor Malaysiakini.

Anggota Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Wan Rosdy yang mendakwa rundingan di antara BN dengan PN untuk menubuhkan kerajaan gagal kerana sikap pimpinan PN yang dilihat terlalu mementingkan jawatan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Wan Rosdy berkata sebelum kerajaan negeri dibentuk dia dihubungi pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari, yang menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama tanpa syarat kepada BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata, beliau juga kemudiannya dihubungi pimpinan PN dan bertemu Tuan Ibrahim serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

“Dalam pertemuan itu, timbalan presiden PAS telah bercakap dulu dan ketika itu kerajaan (persekutuan) belum ditubuhkan lagi.

“Ayat pertama dikeluarkan kepada saya mengatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melantik saya sebagai senator dan diberi jawatan menteri penuh.

“Saya ni terkejut dalam hati, kerajaan tak tubuh lagi ni, macam mana boleh offer kepada saya,” katanya.

Sementara itu Saifuddin turut melabelkan Wan Rosdy sebagai bersikap sombong selepas hanya menawarkan satu jawatan exco kepada PN sebaliknya dua kepada PH.

“Cerita yang sebenarnya juga betapa sombongnya Wan Rosdy apabila dalam rundingan terakhir ketika pertemuan dengan Tuan Ibrahim dia menyatakan BN akan jadi menteri besar, dua jawatan exco kepada PH dan satu saja (jawatan exco) kepada PN.

“Itu sombonglah, jadi kita kata tak payahlah nak berunding macam mana orang ada 17 kerusi boleh dapat satu exco dan orang ada lapan kerusi dapat dua exco,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram