SELEPAS teka-teki barisan Jemaah Menteri berakhir, Jumaat lalu, kini tumpuan terarah pula kepada pelantikan jawatan Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat.
Sesi pertama Sidang Parlimen di bawah pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan berlangsung kira-kira dua minggu lalu iaitu pada 19 Disember depan.
Antara agenda pertama Sidang Parlimen itu tentu sekali bagi memilih Speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengesahkan akan mengosongkan kedudukan sebelum Parlimen bersidang.
Memetik laporan BH Online, dua nama yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan tersbeut adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Mohamad Ariff berpengalaman menjadi Speaker Dewan Rakyat selama 22 bulan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Wan Junaidi pula yang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada PRU-15 lalu pernah menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sewaktu pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut laporan tersebut, difahamkan esok merupakan hari terakhir bagi pemakluman dan pemberian notis berhubung pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat sebelum persidangan Parlimen berlangsung 19 Disember ini.
Bagaimanapun, kedua-dua ‘calon’ bagi jawatan Speaker Dewan Rakyat itu memaklumkan belum mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.
Baca artikel berkaitan: ‘Tanpa Azizah, tidak mungkin saya mampu galas amanah’, Anwar ucap selamat hari lahir
Wan Junaidi berkata, beliau tidak dihubungi Dewan Rakyat mengenai hal terbabit sehingga kini.
“Mana ada… syarat orang yang dilantik sebagai Yang Dipertua mesti dihubungi kerajaan sebelum Parlimen bersidang sama ada beliau bersetuju atau tidak.
“Selain itu, berdasarkan syarat di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang layak menjadi Ahli Parlimen juga layak menjadi Yang Dipertua.
“Apabila seseorang itu layak, beliau akan dihubungi dahulu sama ada bersetuju atau tidak, jika bersetuju akan dihantar surat, mesti ada rekod.
“Sepatutnya seseorang yang dicadangkan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah dihubungi dalam tempoh ini namun saya tidak dimaklumkan apa-apa,” katanya.
Pada masa sama Wan Junaidi berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dilantik perlulah seseorang yang berkecuali dalam politik .
Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan, seseorang Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tamat perkhidmatannya dengan pembubaran Parlimen sebaliknya tugasnya hanya berakhir dengan adanya pelantikan baharu.
Sementara itu, Mohammad Ariff pula berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung pelantikan jawatan itu sehingga kini dan meminta menunggu hingga Isnin.
“Kena tunggu esok… esok hari terakhir disampaikan notis kepada Setiausaha (Dewan Rakyat)… saya tiada maklumat tunggulah dapat maklumat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

