OLEH: SYED SAGGAF (LIPUTAN DARI QATAR)
SEPULUH perlawanan Piala Dunia, tujuh buah stadium berbeza, 13 pasukan berbeza, 30 jumlah gol disaksikan dan barisan pemain ternama beraksi di depan mata!
Kenangan di Qatar diakhiri dengan kemenangan besar Portugal di Stadium Lusail apabila membelasah Switzerland enam gol berbalas satu.
Perlawanan yang rata-ratanya berat sebelah ini membuktikan bahawa Portugal merupakan salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia kali ini.
Apa yang lebih menarik adalah kemenangan semalam dicetak tanpa kelibat Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utamanya. Dia hanya dimasukkan menjelang babak akhir permainan.
Namun, kesebelasan utama yang dipilih oleh jurulatih Fernando Santos tampak garang dan serasi. Goncalo Ramos, pemain yang menggantikan Ronaldo, menjadi pemain pertama di Piala Dunia kali ini meledakkan hatrik.
Kombinasi cemerlang Ramos bersama Burno Fernandes dan Joao Felix di bahagian hadapan banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Switzerland. Dari aspek kepimpinan, pemain paling senior mereka, Pepe yang kini berusia 39 tahun, berjaya mempamerkan semangat yang jitu membimbing pasukan ini.

Baca artikel berkaitan: Di Sebalik Qatar 2022 – Kemenangan Rutin England di Pusingan 16 Terbaik

Walaupun malam tadi penonton disajikan dengan tujuh gol dan permainan yang menarik, namun, sorakan paling kuat diberikan setiap kali wajah Ronaldo muncul di skrin besar di stadium.
Pada awal separuh masa kedua, seluruh stadium mula menyanyikan nama Ronaldo seolah-olah memaksa jurulatih Portugal memasukkannya dengan segera.
Pada minit ke-74, semua impian untuk meyaksikan Ronaldo beraksi tercapai apabila beliau dimasukkan. Malah, sorakan paling besar adalah ketika dia menjaringkan gol pada minit ke-84, tetapi sayangnya gol itu tidak dikira kerana berada di posisi ofsaid.
Sir Alex Ferguson selalu menyatakan bahawa tidak ada satu pemain pun boleh merasakan diri mereka lebih besar dan gah berbanding daripada kelab yang mereka wakili.
Mungkin jurulatih Portugal, Fernando Santos adalah faktor utama kemenangan malam tadi apabila dia membuat keputusan berani untuk menggugurkan Ronaldo daripada kesebelasan utama.
Kadangkala, pemimpin dan pengurus terpaksa membuat keputusan sukar bagi memastikan kejayaan sesebuah organisasi dan mereka akan dipertanggungjawabkan atas setiap keputusan yang dibuat. Akan tetapi, ia harus dilakukan dan kadangkala jurang perbezaan antara betul atau salah sangatlah tipis.
Tahniah Fernando Santos, tahniah Portugal dan semestinya Viva Ronaldo!
Penulis ialah ketua pegawai eksekutif syarikat minyak dan gas yang meminati sukan bola sepak
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

