OLEH: SYED SAGGAF (LIPUTAN DARI QATAR)
Berlatarbelakangkan Stadium Al-Bayt, England dengan penuh bergaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir apabila menewaskan Senegal dengan tiga jaringan tanpa balas.
Stadium Al-Bayt yang terletak lebih kurang 50 km dari bandar Doha merupakan stadium yang dibina khas untuk Piala Dunia kali ini dan menerapkan reka bentuk khemah orang orang Badwi di tanah Arab ini.
Ia merupakan stadium kedua terbesar yang boleh memuatkan 60 ribu penonton dan diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah perlawanan pertama Piala Dunia kali ini.
Kemenangan selesa mereka kali ini amat jauh jika dibandingkan ketika Piala Dunia Russia 2018. Ketika itu mereka memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menewaskan pasukan dari Amerika Selatan iaitu Colombia di pusingan yang sama.
Mereka mengakhiri pertandingan dengan menduduki tempat keempat setelah tewas kepada Croatia di separuh akhir dan juga tewas kepada Belgium untuk penentuan tempat ketiga.
Bola sepak kadang kala akan bertumpu kepada satu detik penting di dalam perlawanan yang boleh merubah segalanya.
Untuk perlawanan semalam, detik tersebut adalah ketika Jordan Pickford menyelamatkan percubaan daripada penyerang Senegal, Boulaye Dia pada minit 32. Perlawanan masih seimbang pada ketika itu dan setelah itu, England terus menguasai permainan dengan penuh efisen dan tenang. Senegal juga malah tidak membuat apa apa cubaan bahaya ke pintu gol England setelah itu.
Skuad England kali ini kelihatan mempunyai cukup pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa dengan mereka juga adalah naib juara Eropah pada edisi 2020.
Pengurusnya, Gareth Southgate mengekalkan hampir 70 peratus pemain dari skuad Piala Eropah yang lalu dan pemain dalam skuad kali ini mempunyai purata 32 penampilan bersama England di peringkat antarabangsa.
Dari segi umur, purata umur pemain kali ini adalah 26 tahun dengan Jude Belingham, 19, menjadi pemain termuda.
Mungkin ujian sebenar England nanti bermula di peringkat suku akhir apabila Juara Dunia Perancis dan Kylian Mpbape menunggu mereka!

