Salah seorang pengundi mencelup jari ke dalam botol dakwat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MENJELANG hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pengundi supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata seramai 132,955 orang pengundi bakal mengundi di Parlimen Padang Serai manakala 28,108 orang di DUN Tioman dan semua pengundi dinasihatkan supaya mengundi mengikut waktu yang telah diwartakan serta tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin menasihatkan pengundi supaya membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak. 

Sebanyak 46 Pusat Mengundi dan 230 Tempat Mengundi (Saluran) akan dibuka untuk pengundian di Parlimen Padang Serai, manakala 17 Pusat Mengundi melibatkan 52 saluran mengundi dibuka bagi proses pengundian di DUN Tioman.

BERITA BERKAITAN PRU-15: BN beri laluan kepada PH bertanding di Parlimen Padang Serai

— LAGI

SPR-PENGUNDIAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

SPR juga menyarankan pengundi yang hadir mengundi esok supaya memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi manakala pengundi yang positif COVID-19 berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Ikmalrudin berkata majikan juga diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam ini dan sebarang bentuk aktiviti kempen termasuk aktiviti merayu undi perlu dihentikan selepas tempoh itu.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” katanya dan menambah bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.

SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam, katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram