Fahmi Fadzil

KEBEBASAN media menjadi antara komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan proses semak dan imbang kerajaan berjalan baik, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata penubuhan Majlis Media Malaysia mungkin menjadi antara kaedah bagi merealisasikan matlamat itu.

“Saya sendiri sebagai menteri terbuka untuk meneliti perkara ini (penubuhan Majlis Media Malaysia), tetapi semestinya ia perlu persetujuan di peringkat Jemaah Menteri.

Berikan sedikit masa, kita akan teliti,” katanya selepas menghadiri taklimat dan lawatan kerja ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Seri Mohammad Mentek serta pengurusan Bernama iaitu Pengerusinya Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Ariffin.

Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Antarabangsa yang juga menanggung tugas sebagai Ketua Pengarang, Jamaluddin Muhammad dan Editor Eksekutif yang juga menanggung tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Harlina Samson turut hadir.

Baca artikel lain: Anwar hantar notis tuntut Ahmad Amzad mohon maaf

Fahmi berkata setakat ini cadangan penubuhan Majlis Media itu masih belum dibincangkan dalam Jemaah Menteri dan akan memaklumkan perkembangan sekiranya telah mencapai sebarang keputusan.

Pada 5 Disember, Fahmi berkata beliau perlu mendapatkan perincian berhubung cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia daripada pemain industri media khususnya persatuan wartawan, selain memberi jaminan kebebasan media akan diberi keutamaan termasuk aspek kebajikan pengamal media di negara ini.

Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau akan mendapatkan maklumat tambahan mengenai Belanjawan 2023 bagi Kementerian Komunikasi dan Digital yang dijangka dibentang akhir suku pertama tahun depan.

Mengenai lawatannya ke Bernama, Fahmi berkata beliau akan meneliti beberapa isu yang dibangkitkan termasuk sambutan Hawana 2023.

Pada lawatan itu, Fahmi turut dibawa melawat ke Bahagian Digital Media Bernama dan diberikan penerangan mengenai pengoperasiannya.

“Saya gembira melihat Bahagian Digital Media Bernama yang bagi saya mungkin salah satu konsep masa depan melibatkan ruang informasi bukan sahaja digital tetapi pertempuran antara maklumat yang benar dan palsu,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram