JALAN bonggol ‘halimunan’ yang tular ditutup sementara sebagai langkah keselamatan selepas beberapa kereta melambung ketika melalui kawasan itu.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, Jalan ke Persiaran Tun Arsyad Ayub berhadapan Universiti Selangor (Unisel) Kampus Shah Alam, Selangor itu ditutup sementara untuk kerja-kerja penambahbaikan.
“Buat masa ini laluan trafik dilencongkan ke Jalan Tungsten 7/23, Seksyen 7 terus ke Persiaran Kayangan.
“Jalan yang ditutup akan di buka semula setelah kerja-kerja penambaikan siap dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya akan mengkaji semula aspek spesifikasi pemasangan bonggol atau lintasan penjalan kaki di lokasi tersebut.
“Lintasan pejalan kaki berhadapan Unisel Kampus Shah Alam itu dipasang supaya kenderaan yang melalui laluan tersebut dapat memperlahankan kenderaan.
“Ini kerana lokasi tersebut sering berlaku kemalangan dan terdapat perhentian bas di kawasan tersebut, ” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Shahrin berkata, papan tanda pemandu memperlahankan kenderaan dan cat garisan kuning telah dipasang sebagai langkah keselamatan dan peringatan kepada pengguna.
UtusanTV sebelum itu melaporkan beberapa pemandu kenderaan nyaris hilang kawalan selepas melalui bonggol di laluan utama berhampiran Unisel di Seksyen 7, Shah Alam, pada malam Ahad.
Kebanyakan kereta gagal melihat papan tanda amaran dan garisan kuning disediakan sehingga ‘terbang’ ketika langgar bonggol di kawasan terlibat.

