DISEBALIK keceriaan dalam memberikan hiburan kepada pengikutnya menerusi content di TikTok, rupa-rupanya siapa sangka personaliti media sosial, Ryan Bakery menyimpan rasa kesal di hati apabila pernah ditipu ratusan ribu ringgit.
Dedah Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery,27, dia yang mencari rezeki dengan melakukan kerja ulasan ( product review) di media sosial, tidak menyangka menjadi mangsa penipuan tauke produk.
“Jujurnya saya ini banyak kali kena tipu pasal duit. Saya cari rezeki dengan cara buat product review tapi bila ditipu, saya jadi susah nak percaya orang.
“Bayangkanlah, saya dah siapkan lima ‘content’ dan saya dah jumlah tontonan di TikTok berkenaan produk tersebut pun sangat tinggi, jadi saya dah buktikan semua kerja saya tapi tak sangka pemilik produk tersebut tak bayar.
“Semua itu berlaku pada tahun ini. Ada juga yang buat bayaran lambat tapi tak mengapalah saya halalkan saja.
“Mungkin bukan rezeki saya. Saya tak terfikir pun nak ambil tindakan undang-undang sebab saya malas nak panjangkan cerita,” katanya kepada URTV.

Ryan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Gempak Most Wanted 2022 (GMWA2022) di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Ryan tercalon menerusi kategori Digital Content Creator Tergempak dan bakal bersaing dengan Namie, Khairul Aming, Mek Yun dan Syahmi Sazli.
Disebabkan fobia ditipu, Ryan mengakui tidak menjawab panggilan telefon nombor yang tidak dikenali hingga didakwa sombong dan berlagak.
“Saya sedar ramai yang kata sukar untuk menghubungi saya sebelum ini. Ada juga yang kata saya dah sombong lepas mula dikenali.
“Saya pernah ditipu sebab itu saya rasa susah nak percaya orang dan tak jawab panggilan telefon yang tak dikenali.
“Saya nak minta maaf terutama pada pihak media yang mungkin terasa sebab saya tak beri respon bila dihubungi.
“Sekarang ini saya dah lega sikit sebab dah ada pengurus. Jadi, bila ada yang terlepas pandang, pengurus saya akan uruskan kerja-kerja saya,” ujarnya yang bakal tampil dalam tiga buah filem pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, sebagai seorang pempengaruh yang banyak menghasilkan ‘content’ di media sosial, Ryan akui inilah masa untuk dia membuktikan bakatnya dalam dunia lakonan.
Biarpun ada segelintir pihak tidak bersetuju mereka ini dipilih menjadi pelakon kerana menganggap golongan ini hanya bersandarkan pada populariti dan bukannya bakat, namun Ryan tidak kisah dengan kritikan negatif.
“Apa salah saya cuba berlakon sebab pengarah sendiri yang bagi kepercayaan kepada saya.
“Inilah medium untuk saya kembangkan bakat untuk tontonan umum. Sebelum ini saya hanya berada di media sosial saja.
“Bila dah diberi rezeki untuk berlakon, saya ambil peluang ini. Saya pun nak buat ibu dan bapa bangga selain nak mereka lihat kejayaan saya,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

