EMPAT mangsa termasuk seorang wanita hamil dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali yang menerima rawatan di Hospital Selayang berada dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
“Ini hasil rawatan yang diterima daripada pakar-pakar, kita jumpa keempat-empat mereka, Alhamdulillah semua baik dan mungkin ada yang akan discaj esok atau lusa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa insiden tanah runtuh yang dirawat di hospital itu bersama isteri Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Baca artikel berkaitan: Tanah runtuh Batang Kali: Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, angka korban kini 24
Dr Zaliha berkata Kementerian Kesihatan akan menyediakan rawatan sokongan psikososial kepada mangsa dan keluarga individu yang terkorban bagi memastikan kesihatan mental serta emosi mereka dalam keadaan baik.
Beliau berkata pihak kerajaan melalui Hospital Selayang akan berusaha memberikan rawatan dan jagaan terbaik kepada semua mangsa tragedi tanah runtuh itu.
“Sehubungan itu, saya berharap ahli keluarga kekal bersabar dan tabah dalam mengharungi ujian ini. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.
Insiden sekitar 2.42 pagi semalam, yang melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter, telah meragut 24 nyawa setakat ini.
Sembilan mangsa masih hilang manakala 61 orang terselamat.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

