MAJLIS angkat sumpah 222 ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini menyaksikan salah seorang daripada wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menyempurnakan upacara itu daripada tempat duduknya.
Ini kerana difahamkan Mohd Sany tidak mampu berjalan ke bahagian hadapan Dewan Rakyat kerana baru menjalani pembedahan minggu lalu.
Mohd Sany turut dilihat menggunakan kerusi roda dan tangan kirinya berbalut.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang memberi keizinan berkata, beliau menerima pemakluman daripada Mohd Sany berhubung keadaan kesihatan Ahli Parlimen Hulu Langat itu.
“Saya telah menerima satu pemakluman daripada Yang Berhormat Hulu Langat akan keadaan kesihatan beliau yang baru sahaja menjalani pembedahan pada minggu lalu.
Baca artikel berkaitan: Rus’sele Eizan angkat sumpah sebagai Speaker DUN Perlis baharu
“Beliau tidak dibenarkan untuk berjalan. Sehubungan itu, saya membenarkan Yang Berhormat Hulu Langat mengangkat sumpah dari tempatnya,” katanya.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Mohd Sany dilaporkan menjalani pembedahan pada kaki kanannya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lalu.
“Pembedahan itu adalah susulan pembedahan dibuat dua tahun lalu,” katanya kepada portal berita tersebut.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Mohd Sany yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) memperoleh kemenangan mengatasi lima calon lain dengan majoriti 14,888 undi.
Beliau mendapat 58,380 undi menewaskan dua calon terdekat iaitu Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latif dari Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 43,492 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abd Aziz menerima 32,564 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

